
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata syarikat itu diberi tanggungjawab untuk menyiapkan 51 menara menerusi fasa satu program tetapi semuanya belum beroperasi setakat 31 Okt.
Menurutnya, 17 daripadanya telah melebihi sasaran sembilan bulan yang ditetapkan untuk disiapkan.

“YTL yang paling corot. Minta maaf, saya terpaksa sebut di sini. Daripada 51 menara diterima, semua tidak siap.
“Jadi saya sudah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meneliti menara yang menghadapi kelewatan,” katanya menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Pembangkang-Kuala Kangsar).
Iskandar meminta kerajaan menyatakan status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jendela dan tindakan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek mengikut tempoh ditetapkan.
Fahmi berkata tindakan penalti boleh dikenakan mengikut notis pemberitahuan penamaan kepada pembina menara atas kegagalan menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, penalti boleh dikenakan bagi kegagalan menyiapkan pembinaan menara itu termasuk ganti rugi tercair, bon pelaksanaan dan penolakan tuntutan, serta tindakan lain di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pada masa ini, tindakan yang sedang dipertimbangkan adalah mengenakan liquidated damages kepada pihak terbabit,” katanya.
Daripada keseluruhan 1,661 projek pembinaan menara telekomunikasi, Fahmi berkata 1,385 telah siap dengan 808 telah beroperasi manakala 577 dalam pelaksanaan dan 226 telah melebihi tempoh sasaran sembilan bulan ditetapkan untuk beroperasi.