Operasi tren di Pantai Timur terjejas akibat banjir

Operasi tren di Pantai Timur terjejas akibat banjir

Perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 (JB Sentral–Tumpat–JB Sentral) serta Shuttle Timuran (Kuala Lipis–Gua Musang–Tumpat) terjejas akibat banjir.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata tambang penuh akan dipulangkan kepada penumpang terkesan selepas beberapa perkhidmatan KTM Intercity ke Pantai Timur terjejas akibat banjir.
KUALA LUMPUR:
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir dan tanah mendap di beberapa kawasan yang turut menjejaskan operasi tren penumpang.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan KM493 hingga KM490.85 antara Pasir Mas dan Tanah Merah dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel.

Berikutan itu, perkhidmatan KTM Intercity ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral-Tumpat dibatalkan mulai malam tadi.

“Hari ini, perkhidmatan lain yang turut terjejas termasuk Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 (JB Sentral–Tumpat–JB Sentral) serta Shuttle Timuran (Kuala Lipis–Gua Musang–Tumpat) akibat ditenggelami banjir.”

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, berkata perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Bagi penumpang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, katanya, KTMB akan memulangkan tambang penuh, manakala pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan berterusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan di media sosial rasmi KTMB.

Sebagai langkah responsif, menurutnya, KTMB mengaktifkan bilik gerakan banjir di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren dan memberikan kemas kini situasi.

“KTMB juga bersedia dengan pelan bantuan untuk mangsa banjir di stesen KTMB bagi memastikan bantuan disalurkan dengan pantas dan sistematik.

“KTMB menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian Jabatan Meteorologi (MetMalaysia). Keutamaan turut diberikan kepada lokasi kerap terjejas banjir.”

Beliau berkata, KTMB akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Agensi Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan tindakan penyelamatan dan pengurusan insiden dapat dilaksanakan dengan efisien.

Ia turut menggerakkan aset kritikal seperti troli rel bagi memantau paras air di laluan utama dan kawasan berisiko tanah runtuh. Pelbagai peralatan tambahan termasuk peralatan keselamatan, komunikasi dan bantuan kecemasan disediakan untuk kegunaan semasa banjir.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200, laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau saluran media sosial rasmi KTMB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.