
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan 200 set dokumen kepada pihak pembelaan menimbulkan persoalan serius berhubung keupayaan AGC melaksanakan tugasnya.
“Adakah AGC tiada kuasa mencukupi untuk memastikan kerjasama antara agensi untuk pendakwaan? Jika tidak, adakah ini menunjukkan kelemahan besar dalam keberkesanan sistem keadilan jenayah Malaysia?” soalnya dalam kenyataan.
C4 menggesa AGC menjelaskan kegagalan menyahklasifikasi dan menyerahkan dokumen masih bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), sedangkan pihak pendakwaan mempunyai enam tahun untuk berbuat demikian.
Ia turut menggesa kerajaan meminda OSA bagi memansuhkan kuasa mengklasifikasikan dokumen sebagai rahsia rasmi sewenang-wenangnya, yang kini diberikan kepada mana-mana menteri, ketua menteri atau pegawai awam.
“Jika kerajaan serius mengenai usaha antirasuah yang memberikan impak, ia perlu segera menangani bagaimana OSA boleh menutup pendakwaan bagi rasuah sektor awam.”
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib dan Irwan untuk dilepas tanpa dibebaskan dalam kes IPIC mereka susulan kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen penting kepada pihak pembelaan.
Najib dan Irwan didakwa pada 2018 atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana kerajaan bagi bayaran kepada IPIC, syarikat milik Abu Dhabi.
Hakim Jamil Hussin dilaporkan berkata, dokumen itu tidak diserahkan kepada pihak pembelaan walaupun tarikh perbicaraan sudah ditetapkan yang disifatkannya “kelewatan melampau”.
Sebelum ini, pihak pendakwaan berkata beberapa dokumen sudah diserahkan kepada pihak pembelaan, tetapi bakinya daripada beberapa kementerian tidak dapat diberikan kerana bawah OSA.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa AGC mengkaji semula kes IPIC untuk mengesahkan sama ada ia mempunyai bukti untuk menyokong pertuduhan awal terhadap Najib dan Irwan.
“AGC perlu mengkaji semula kes ini dengan segera dan jika ada bukti kukuh, Najib dan Irwan mesti didakwa semula tanpa sebarang kelewatan.
“Semua dokumen penting yang diperlukan untuk pendakwaan mesti disiapkan sepenuhnya dan dikemukakan dengan teliti serta teratur agar perbicaraan berjalan lancar tanpa sebarang isu teknikal atau kekangan,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, kes itu ialah ujian besar terhadap komitmen AGC dalam menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan.