KPKT digesa kaji semula syarat ketat mohon dana rumah ibadat bukan Islam

KPKT digesa kaji semula syarat ketat mohon dana rumah ibadat bukan Islam

Pemuda MIC Selangor menyifatkan syarat baharu itu tidak munasabah kerana RIBI memohon dana berdasarkan keperluan semasa.

evangelical Christians church
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang meminda garis panduan tidak membenarkan rumah ibadat bukan Islam memohon dana dalam tempoh tiga tahun selepas menerima peruntukan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda MIC Selangor menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkaji semula pindaan garis panduan tidak membenarkan permohonan dana rumah ibadat bukan Islam (RIBI) dalam tempoh tiga tahun selepas menerima peruntukan.

Ketuanya, Gobirajan Chandran menyifatkan syarat baharu itu tidak munasabah memandangkan permohonan dana oleh pengurusan RIBI berdasarkan keperluan semasa, mengambil kira lokasi, jumlah penganut dan peranannya melalui aktiviti kerohanian.

“KPKT seharusnya mengutamakan pengagihan dana yang adil dan saksama, bukannya menggunakan pendekatan menyekat keperluan mendesak sesetengah RIBI.

“Tindakan ini akan dilihat berat sebelah, apabila RIBI yang sangat memerlukan (dana) dinafikan bantuan, manakala pihak lain menerima peruntukan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, syarat tiga tahun akan menyekat kelangsungan operasi RIBI yang benar-benar layak dan memerlukan bantuan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athiran Sabtu di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa pindaan itu bagi memastikan tiada RIBI menerima peruntukan berulang.

Katanya, 422 daripada 1,074 permohonan diterima KPKT membabitkan peruntukan berjumlah RM46.1 juta diluluskan sehingga 30 Sept lalu.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk pembangunan RIBI dan KPKT menyasarkan 200 premis menerima manfaat peruntukan dengan jumlah maksimum RM250,000 setiap RIBI.

Gobirajan berkata, RM50 juta setahun untuk RIBI jelas tidak cukup untuk dikongsi pelbagai RIBI.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana permohonan dan penilaian dibuat bagi memastikan kesahihan serta keadilan kepada semua pemohon.

“Jawatankuasa penilaian dana RIBI perlu melibatkan pakar agama bukan Islam agar setiap permohonan dinilai dengan teliti dan adil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.