Kos RM16.5 bilion DNB bangun 5G tak libat dana kerajaan, kata menteri

Kos RM16.5 bilion DNB bangun 5G tak libat dana kerajaan, kata menteri

DNB antaranya menerima suntikan ekuiti serta pinjaman pemegang saham oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), kata Gobind Singh Deo.

5g
Setakat tahun ini, DNB membelanjakan RM5 bilion bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan rangkaian 5G pertama negara. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Digital hari ini menegaskan kos berjumlah RM16.5 bilion untuk Digital Nasional Bhd (DNB) membangunkan dan menyelenggara rangkaian 5G pertama selama 10 tahun tidak melibatkan dana kerajaan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, DNB sebaliknya menerima suntikan ekuiti sebanyak RM500 juta pada 2021 serta pinjaman pemegang saham berjumlah RM450 juta oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2023.

“Selain itu, perbelanjaan DNB dilaksanakan melalui pinjaman swasta, termasuk pinjaman bank yang dijamin oleh kerajaan serta sumber-sumber kewangan yang lain,” katanya Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

“Jumlah RM950 juta ini, iaitu RM500 juta suntikan ekuiti dan pinjaman pemegang saham RM450 juta, serta pinjaman bank dijamin kerajaan akan diambil alih dan dibayar balik oleh pihak syarikat telekomunikasi kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada proses peralihan kepada model dwirangkaian 5G negara.”

Terdahulu, sebanyak 10 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan (RUU) tersebut.

Setakat tahun ini, DNB membelanjakan RM5 bilion bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan rangkaian 5G.

Gobind berkata, kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian.

Beliau juga telah mengarahkan agar audit atau kajian usaha wajar dijalankan untuk memastikan aspek pentadbiran atau tatakelola dan sebagainya dalam DNB dipantau rapat.

“Kajian usaha wajar itu memberikan jawapan (mendapati) bahawa perkara yang kita lihat dari aspek pentadbiran, kewangan dan sebagainya adalah teratur, tidak ada masalah.

“Saya ingin menyatakan dengan tegas, sekiranya wujud perkara yang perlu ditangani, dibawa kepada perhatian saya, saya akan ambil tindakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.