
Saksi kelima pendakwaan, Dr Dzureena Abdul Multalib, 39, berkata berdasarkan tahap keparahan kecederaan, terutama kesan lebam, perubahan warna mungkin berlaku dalam tempoh hampir sama, iaitu antara beberapa minit hingga beberapa jam sebelum kematian.
“Ia mungkin dilakukan oleh dua, tiga, empat, 10 atau lebih individu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Ram Singh pada perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol hari ini.
Seramai 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam pada 21 Mac dan 7.38 pagi 22 Mac.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak lebih 12 kali jika sabit kesalahan.
Kepada soalan peguam itu berhubung kecederaan pada skrotum dan muka mangsa, Dr Dzureena berkata, ia disebabkan oleh trauma tumpul pada bahagian kemaluan serta muka seperti tendangan, tumbukan, atau hentaman dengan objek tumpul, atau gabungan tindakan-tindakan ini.
Peguam Vivian Thien pula bertanya sama ada mangsa boleh diselamatkan jika dibawa menerima rawatan pada 4 pagi, iaitu dalam tempoh 3 atau 4 jam selepas mengalami kecederaan.
Saksi itu berkata, mangsa mungkin boleh diselamatkan jika dibawa ke hospital serta-merta dan menerima rawatan agresif termasuk resusitasi.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mengenai rawatan agresif itu, Dr Dzureena berkata, ia rawatan sokongan yang melibatkan pelbagai kepakaran termasuk dari segi kecemasan, perubatan dan buah pinggang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla, Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada tertuduh diwakili Ram Singh, Kamaruddin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian, Jhassany P Kang dan Kusni Ambotuwo.