Kerajaan nafi bawa 3,800 pensyarah, pelajar Taliban ke Malaysia tahun depan

Kerajaan nafi bawa 3,800 pensyarah, pelajar Taliban ke Malaysia tahun depan

Seorang pegawai Kementerian Pendidikan menolak dakwaan itu selepas kritikan terhadap kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan awal bulan ini.

KPM BUILDING-PUTRAJAYA-KEMENTERIAN PENDIDIKAN-1
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementeriannya berkongsi pandangan mengenai pendidikan dengan pegawai Kementerian Pendidikan Afghanistan sempena kunjungan mereka ke Malaysia awal bulan ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan 3,800 pensyarah dan pelajar Afghanistan diterima ke universiti Malaysia tahun depan.

Seorang pegawai KPM menyifatkan dakwaan itu palsu.

Ini menyusul kritikan terhadap KPM yang menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada 16 Nov lalu berkata KPM berkongsi pandangan mengenai pendidikan dengan pegawai dari Kementerian Pendidikan Afghanistan.

Afghanistan satu-satunya negara di dunia yang tidak membenarkan gadis dan wanita belajar di sekolah menengah serta universiti.

Pentadbiran Taliban mengenakan sekatan ke atas wanita yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai ‘aparteid jantina’.

Mac tahun lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata Malaysia sedia bekerjasama dan memperbaiki hubungan dengan kerajaan Afghanistan bawah pemerintahan Taliban.

Tetapi, katanya Malaysia berdiri teguh dalam isu pendidikan wanita dan percaya mereka tidak patut dinafikan hak untuk mendapat pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.