Bolehkah rakyat manfaat gelombang lumayan pekerjaan hijau?

Bolehkah rakyat manfaat gelombang lumayan pekerjaan hijau?

Peralihan ke tenaga boleh diperbaharui akan mewujudkan ribuan pekerjaan baharu, tetapi bolehkah rakyat merebut peluang tersebut?

teknologi hijau
Penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui akan membawa kepada penciptaan pekerjaan baharu malah bergaji tinggi. Adakah rakyat Malaysia bersedia ke arah itu? (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Peluang pekerjaan berpendapatan tinggi akan bertambah banyak ketika Malaysia beralih ke ekonomi hijau di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Sebilangan besar pekerjaan ini mungkin dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutama tenaga solar.

Menerusi NETR, solar dijangka membentuk sebahagian besar daripada tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Bagi memastikan kejayaan NETR dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, kerajaan menaikkan peruntukan bagi Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Nasional kepada RM300 juta dalam Belanjawan 2025, meningkat daripada RM200 juta dalam bajet sebelumnya.

Bagaimanapun, peluang pekerjaan tidak akan terhad kepada industri tenaga boleh diperbaharui, menurut ahli ekonomi Lee Heng Guie kepada FMT.

Malah mereka yang berada dalam sektor tradisional seperti pembuatan dan sektor memuncul seperti kenderaan elektrik dan bandar pintar akan mempunyai peluang pekerjaan yang sama, katanya.

"Ini kerana peralihan hijau adalah pembangunan keseluruhan ekonomi," jelas Lee, pakar dari Socio Economic Research Centre Malaysia.

Pekerjaan ini mungkin raih gaji yang lebih tinggi. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim sebelum ini, imbuhan antara RM3,000 hingga RM16,000 sebulan.

Sebagai perbandingan, 50% rakyat yang bekerja dalam pembuatan memperoleh pendapatan kurang daripada RM2,645 sebulan.

Di sektor perkhidmatan, separuh daripada mereka dalam bidang kewangan membawa pulang kurang daripada RM6,900 sebulan manakala bahagian yang sama dalam industri makanan dan minuman peroleh kurang daripada RM1,964 sebulan.

NETR ialah usaha Malaysia untuk memanfaatkan pasaran global yang semakin membesar untuk tenaga boleh diperbaharui dan pada masa yang sama menangani perubahan iklim.

Di bawah NETR, negara akan menghentikan penggunaan bahan api fosil secara beransur-ansur untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui kepada 70% menjelang 2050.

Pada awalnya, NETR diramal membawa masuk RM25 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan mencipta 23,000 pekerjaan baharu.

Namun awal tahun ini, Kementerian Ekonomi menyemak unjurannya kepada RM60.7 bilion FDI dan 84,544 pekerjaan baharu.

Ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Alam Sekitar dan Air menetapkan sasaran 200,000 pekerjaan baharu menjelang 2030, menurut portal MYFutureJobs.

Secara keseluruhan, NETR dijangka mencipta 300,000 pekerjaan baharu menjelang 2050 –peningkatan sepuluh kali ganda daripada 30,000 pekerjaan hijau yang sedia ada di Malaysia setakat 2023, menurut laman pekerjaan berasaskan teknologi hijau itu.

Jurang kemahiran

Rakyat perlu memiliki set kemahiran yang pelbagai untuk memanfaatkan peluang ini.

Indeks Kemahiran Umum Hijau oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian PBB menyenaraikan empat set kemahiran yang akan menjadi penting untuk meraih peluang tersebut, kata Lee.

“Ia adalah kejuruteraan dan teknikal, sains, pengurusan operasi dan pemantauan,” tambahnya.

Beliau berkata kemahiran ini penting untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Jadi anda memerlukan seseorang untuk menjejak dan mengumpul maklumat,” tambahnya.

Namun, rakyat juga memerlukan kemahiran insaniah, seperti kebolehsuaian, kreativiti dan kemahiran am yang lain, menurut Lee.

Beliau berkata di bawah Belanjawan 2024, kerajaan Madani banyak beri tumpuan pada menawarkan insentif kepada perniagaan dan entiti lain untuk menjadi mesra alam dan mencipta pekerjaan.

Menurutnya, belanjawan itu kurang beri tumpuan pada pekerja mahir teknologi hijau atau pekerjaan yang memerlukan usaha diambil untuk mengurangkan impak manusia ke atas alam sekitar serta memulihkan dan memelihara alam.

Belanjawan 2025 juga tidak menyatakan inisiatif khusus untuk memberdaya tenaga kerja mahir teknologi hijau, namun ia memperuntukkan berbilion ringgit untuk projek tenaga boleh diperbaharui.

Lee berkata walaupun pelaburan dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) boleh membantu rakyat meningkatkan kemahiran, ia tidak secara khusus berkait dengan pekerjaan dan kemahiran tertentu yang diperlukan oleh industri hijau.

Beliau berkata kekurangan penyelarasan yang cekap dalam kalangan pemegang taruh seperti kerajaan, ahli akademik dan industri dalam hal pendidikan dan latihan boleh menyebabkan kekurangan kemahiran pekerjaan hijau yang berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.