Bagus guna AI kesan kanser, namun masih banyak cabaran, kata pakar

Bagus guna AI kesan kanser, namun masih banyak cabaran, kata pakar

Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia berkata, isu seperti bias dalam data mesti ditangani terlebih dulu.

AI mungkin dapat membantu doktor mengesan kanser lebih awal, termasuk dalam keadaan yang tidak dapat dikesan menggunakan kaedah tradisional, kata Dr Murallitharan. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan mengalu-alukan penggunaan AI untuk mengesan kanser, tetapi turut mengingatkan bahawa masih banyak cabaran perlu ditangani terlebih dulu.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr M Murallitharan, berkata cadangan itu mempunyai prospek baik tetapi ada isu seperti bias dalam data, ‘overfitting’ (apabila anggaran tepat tidak dapat dibuat), dan ketelusan yang perlu ditangani.

Beliau memberitahu FMT, untuk memastikan kejayaan pelaksanaan AI dalam pengesanan kanser turut memerlukan set data berkualiti tinggi yang pelbagai, kelulusan kawal selia, dan penyepaduan lancar dalam aliran kerja klinikal.

Pada 20 Nov, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan terbuka untuk menggunakan teknologi terkini termasuk AI, bagi mengesan penyakit seperti kanser sekiranya teknologi berkenaan terbukti selamat, berkesan dan menjimatkan kos.

Katanya, projek perintis yang menggunakan AI bagi mengesan kanser paru-paru sudahpun dimulakan di Institut Kanser Negara serta hospital Cyberjaya, Kajang dan Putrajaya.

Murallitharan berkata, sistem AI mampu memproses jumlah data yang banyak, termasuk imej perubatan dan sejarah pesakit dengan lebih cepat, malah dalam keadaan tertentu, lebih tepat berbanding oleh manusia.

“Keupayaan ini mampu membantu doktor mengesan tanda-tanda kanser dengan lebih awal, termasuk dalam kes yang tidak dikesan menerusi kaedah tradisional,” katanya.

“AI patut membantu dalam penilaian klinikal dengan perlindungan privasi kukuh serta kemas kini secara kerap untuk kes yang jarang berlaku, tetapi bukan terus menggantikannya,” katanya.

Diminta mengulas pandangan bahawa Kementerian Kesihatan sepatutnya memfokuskan terhadap menaik taraf fasiliti kesihatan dan membaiki perkhidmatannya, bukan meneroka penggunaan AI dalam mengesan kanser, Murallitharan berkata kedua-dua ini boleh dilakukan seiring.

“Walaupun penting untuk terus melabur dalam kemudahan dan perkhidmatan, mengintegrasikan AI mampu mengatasi beberapa kekurangan dalam sistem sedia ada,” katanya.

President Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Shanmuganathan Ganeson, berkata sebarang teknologi termasuk AI patut diteroka sekiranya mampu membaiki penjagaan kesihatan.

Sebagai contoh, katanya, kanser paru-paru kini merangkumi 10% kes kanser di Malaysia.

Katanya, hampir 90% kes hanya didiagnos pada Tahap III atau IV, dan pada peringkat itu pilihan rawatan adalah terhad dan mahal.

“Alat pengesanan awal yang maju mampu membawa kepada hasil lebih signifikan dengan mengesan penyakit itu pada peringkat awal,” katanya kepada FMT.

“Perbelanjaan kesihatan awam sedikit sebanyak patut mengatasi kos rawatan kuratif,” katanya dengan menambah manfaat perbelanjaan itu hanya dapat dilihat secara jangka panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.