Apa tindakan kamu terhadap perkara ‘menyeramkan’ dalam DNB, Ong soal Fahmi

Apa tindakan kamu terhadap perkara ‘menyeramkan’ dalam DNB, Ong soal Fahmi

Bekas timbalan menteri persoal perkara itu selepas Fahmi Fadzil berkata beliau 'seram' apabila mendapati tiada sesiapa yang memahami aktiviti DNB ketika menjadi menteri.

ong kian ming n fahmi fadzil
Bekas Ahli Parlimen Ong Kian Ming mempersoalkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sama ada beliau membuat susulan terhadap gesaan siasatan rasuah ke atas perkongsian rangkaian 5G antara DNB dan Ericsson sebelum ini.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen meminta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan tindakan diambil untuk menangani kebimbangannya mengenai Digital Nasional Bhd (DNB) selepas menjadi menteri pada Disember 2022.

Ong Kian Ming berkata, Fahmi sebagai Ahli Parlimen pembangkang pada 2022, menggesa siasatan rasuah terhadap perkongsian rangkaian 5G antara DNB dan Ericsson, berikutan laporan bahawa syarikat telekomunikasi Sweden itu didakwa melanggar perjanjian dan mempunyai isu pematuhan.

“Adakah Fahmi membuat susulan mengenai perkara ini selepas beliau menjadi menteri komunikasi dan digital pada Disember 2022? Jika ya, adakah sebarang ketidakwajaran ditemui dan jika ya, apakah tindakan yang telah diambil?

“Apakah langkah yang Fahmi ambil untuk membersihkan perkara ‘menyeramkan dan mencemaskan’ yang dia temui di DNB ketika mula-mula menjadi menteri?

“Demi ketelusan, adakah beliau dapat mendedahkan langkah-langkah pemulihan yang telah diambil?” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu dalam beberapa siri catatan di X.

Ong merujuk kepada penemuan ‘menyeramkan dan mencemaskan’ oleh Fahmi bahawa tiada siapa yang mempunyai pemahaman jelas mengenai aktiviti DNB semasa beliau menjadi menteri komunikasi dan digital.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sama sekali tidak mengetahui operasi DNB semasa beliau mula-mula mengambil portfolio itu.

Beliau berkata, timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan pun tidak mengetahuinya walaupun DNB adalah syarikat Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Bagaimanapun, Ong berkata kenyataan Fahmi gagal memberikan jawapan substantif dan hanya menimbulkan lebih banyak persoalan tentang ekosistem 5G Malaysia di tengah-tengah penelitian terhadap pemberian pelancaran rangkaian 5G kedua kepada U Mobile Sdn Bhd.

Bekas timbalan menteri perdagangan dan pelaburan antarabangsa itu meminta Fahmi menjelaskan bagaimana pelaksanaan rangkaian 5G pertama DNB dan Ericsson memenangi beberapa anugerah global, seperti Anugerah Ookla dan Anugerah Futurenet Asia 2024.

Ahli DAP itu juga meminta Fahmi menjelaskan bagaimana DNB berjaya mencapai liputan 80% kawasan berpenduduk sebelum tarikh akhir yang diberikan walaupun tidak mempunyai CEO dari Mac 2023 hingga Oktober tahun ini.

“Bolehkah menteri juga menjelaskan jika perbelanjaan RM16.5 bilion yang dilaporkan untuk rangkaian 5G dibelanjakan dengan betul, seperti yang dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim semasa peringkat jawatankuasa perbahasan bajet?

“Sekiranya terdapat ketidakwajaran dalam perbelanjaan ini oleh DNB, adakah tindakan diambil?”

Pada 3 Dis 2022, Fahmi dilantik sebagai menteri komunikasi dan digital apabila DNB dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke kementeriannya.

Rombakan Jemaah Menteri Disember lalu menyaksikan kementerian itu berpecah, dengan Fahmi ditugaskan semula ke Kementerian Komunikasi dan Gobind Singh Deo mengambil alih Kementerian Digital.

DNB secara rasmi berada di bawah Kementerian Digital pada 10 Jan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.