Wisma Putra pastikan 32 rakyat terkandas di Pakistan selamat

Wisma Putra pastikan 32 rakyat terkandas di Pakistan selamat

Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kepulangan mereka.

Wisma Putra seru rakyat Malaysia yang belum berdaftar dengan suruhanjaya tinggi di Islamabad supaya berbuat demikian melalui e-konsular.
PETALING JAYA:
Wisma Putra berhubung dengan pihak berkuasa Pakistan untuk memastikan keselamatan 32 rakyat Malaysia yang terkandas di Chilas, susulan pergolakan di Asia Selatan itu.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa 32 rakyat Malaysia yang terkandas di Chilas kini dalam perjalanan ke Bersham, berikutan keadaan di kawasan tersebut yang semakin pulih.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kepulangan mereka berjalan dengan selamat dan terjamin,” menurut kenyataan.

Wisma Putra berkata ia memantau rapi situasi di Islamabad susulan pergolakan di ibu negara Pakistan itu dalam tempoh dua hari lalu, dan menyeru rakyat Malaysia yang belum berdaftar dengan suruhanjaya tinggi supaya berbuat demikian melalui e-konsular.

“Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan semua rakyat Malaysia yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi,” katanya.

Suruhanjaya tinggi pada Selasa mengeluarkan nasihat perjalanan berikutan protes sengit di Islamabad. Penyokong bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, dilapor mengadakan perarakan menuntut pembebasannya.

Empat anggota keselamatan dilaporkan terbunuh dalam serangan pada Isnin, yang dikaitkan oleh kerajaan dengan penyokong Imran.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif berikrar untuk menangani penunjuk perasaan dengan tegas jika mereka cuba mengadakan demonstrasi di kawasan larangan di ibu negara.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas digesa untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.