
Pemangku Ketua Polis Kuala Langat, Mohd Sufian Amin, berkata kumpulan suspek sudah membayar RM400,000 kepada penyewa kilang warga China yang dikatakan gagal menyediakan barangan logam dijanjikan selepas menerima wang berkenaan.
“Suspek beranggapan pemilik menipunya sebelum mengambil tindakan sendiri. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Imigresen Cawangan Kuala Langat.
Rabu lalu, 16 lelaki berusia 30 hingga 50 tahun, termasuk dua warga China ditahan dipercayai terbabit kes samun berkumpulan di sebuah kilang barangan lusuh di Telok Panglima Garang pada 9 Nov lalu.
Sufian berkata, tiada elemen kongsi gelap dalam kes itu kerana suspek ditahan adalah ajakan rakan kepada rakan lain.
Menurutnya, dua warga China memiliki pasport sah yang turut ditahan berperanan sebagai jurubahasa disebabkan dialek penyewa kilang terbabit.
Katanya, seorang suspek yang memiliki parang sudah didakwa mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.