
Hakim Jamil Hussin berkata, beliau menggunakan kuasa sedia ada membenarkan permohonan DNAA Najib dan Irwan di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada Oktober 2018, Najib dan Irwan didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah dana kerajaan berkaitan bayaran kepada IPIC, syarikat milik Abu Dhabi.
Mereka memohon DNAA kerana pihak pendakwaan belum menyerahkan dokumen penting kepada pihak pembelaan.
Hari ini, Jamil berkata, pihak pendakwaan tidak mengikut prosedur dalam mengemukakan dokumen dikehendaki mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Mereka didakwa pada 2018 dan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan, tetapi dokumen tidak dihantar. Ini kelewatan melampau.”
Katanya, DNAA tidak akan menjejaskan pihak pendakwaan kerana Najib dan Irwan boleh didakwa semula selepas pihak pendakwaan bersiap sedia.
Beliau mengarahkan wang jaminan Najib dan Irwan dikembalikan.
Isu dihadapi Jamil ialah sama ada beliau boleh menggunakan kuasanya untuk membenarkan DNAA kerana permohonan dikemukakan pihak pembelaan, bukannya pihak pendakwaan.
Mengikut Seksyen 254 CPC, pihak pendakwaan boleh memohon DNAA, tetapi keputusan muktamad terletak pada mahkamah.
Najib dan Irwan memohon DNAA pada Mac 2022 serta Julai tahun ini.
Julai lalu, Jamil memerintahkan pihak pendakwaan menyelesaikan proses nyahklasifikasi dokumen dalam masa tiga bulan.
Kelmarin, Timbalan Pendakwa Raya, Saifuddin Hashim Musaimi dilaporkan berkata, pihak pendakwaan belum mendapat dokumen dinyahklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) daripada beberapa kementerian, tetapi bersedia meneruskan perbicaraan.
Pihak pembelaan membantah dengan memetik Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang menyatakan individu dituduh perlu mendedahkan pernyataan pembelaan mereka kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.
Hari ini, peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah anak guamnya akan berdepan salah laksana keadilan kerana dokumen itu tidak diserahkan, walaupun berdepan pertuduhan sejak enam tahun lalu.
Katanya, DNAA wajar kerana keadaan semasa adalah penyalahgunaan proses dan menindas Najib.
Peguam Irwan, K Kumaraendran berkata pihak pendakwaan hanya menyerahkan 21 dokumen, manakala 59 dokumen penting untuk pembelaan anak guamnya belum diterima.
Beliau berkata, Irwan memohon DNAA atas alasan pihak pendakwaan belum menyerahkan semua dokumen yang mereka mahu gunakan dalam perbicaraan.
Menurutnya, hakim perbicaraan ketika itu, Nazlan Ghazali menetapkan tarikh perbicaraan pada 2019, tetapi pihak pendakwaan tidak mendedahkan ia berdepan kesukaran mendapatkan dokumen itu.
“Hanya pada Julai tahun ini pihak pendakwaan membuat pendedahan. Mereka boleh mendakwa anak guam saya semula hanya jika mereka serah semua dokumen kepada kami.”
Saifuddin mengakui Jamil boleh menggunakan kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan DNAA dan ia terpulang kepada budi bicara hakim.
“Kami sudah serah beberapa dokumen tidak diklasifikasikan, tetapi yang lain tidak dapat diserahkan kerana bawah OSA.”