Jangan ‘main politik’, Loke tegur Ahli Parlimen persoal LRT P Pinang

Jangan ‘main politik’, Loke tegur Ahli Parlimen persoal LRT P Pinang

Menteri pengangkutan berkata, projek pengangkutan awam memang kebanyakannya merugikan, tetapi penting untuk pembangunan sosioekonomi.

anthony loke siew
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, Ahli Parlimen tidak boleh bermain politik dalam isu pembangunan prasarana negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook membidas seorang Ahli Parlimen pembangkang kerana ‘bermain politik’ berhubung projek LRT Pulau Pinang, dengan mengatakan bahawa keputusan mengenai pembangunan prasarana dibuat berdasarkan penilaian objektif yang memenuhi kepentingan negara.

Semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2025 kementeriannya, Loke berkata, beliau kecewa dengan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang mempersoalkan sama ada projek LRT Pulau Pinang akan menjadi ‘gajah putih’ jika gagal memenuhi unjuran jumlah penumpang. .

Laluan LRT itu, yang akan menghubungkan Bayan Lepas dengan Komtar, dijangka menampung lima hingga 42 juta penumpang setiap tahun.

“Saya kesal sedikit dengan pandangan (Ahli Parlimen) Pasir Mas, yang mempersoalkan projek LRT di Pulau Pinang, seolah2 apa sahaja berkaitan Pulau Pinang (perlu dipersoalkan).

“Tadi (Ahli Parlimen) Pasir Mas mempersoalkan unjuran penumpang … yang pertamanya, dari segi projek pengangkutan awam ini, memang kalau nak peroleh semula (hasil) pelaburan itu sukar.

“Kebanyakan projek pengangkutan awam ini memang rugi tetapi kita lihat dari segi pembangunan sosioekonomi,” kata Loke dalam Dewan Rakyat.

“Kalau nak dikatakan nak wajarkan unjuran penumpang, ECRL pun sukar nak diwajarkan untuk Kelantan, tetapi adakah kerajaan kata kita tidak bangunkan ECRL ke Kelantan? Tidak!”

Loke menegaskan bahawa beliau tidak pernah membantah pembangunan ECRL malah berusaha meyakinkan Jemaah Menteri untuk melanjutkan laluan rel ke Rantau Panjang, dengan hasrat menyambungkannya ke Thailand.

Beliau mahukan pembangunan dan kemakmuran untuk semua negeri termasuk Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak, tambahnya.

“Jadi kita jangan bermain politik dalam soal infrastruktur ini. Infrastruktur ini penting untuk negara, penting untuk semua wilayah, penting untuk semua negeri.

“Apabila kita buat infrastruktur, ini kemudahan untuk rakyat. Ini membawa kemajuan kepada ekonomi dan juga pembangunan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.