BNM digesa siasat, kaji notis kenaikan premium insurans

BNM digesa siasat, kaji notis kenaikan premium insurans

Ahli Parlimen Sim Tze Tzin kata BNM tidak harus biar perkara ini dengan alasan ia merupakan keputusan perniagaan.

bank negara
Ahli Parlimen Sim Tze Tzin yang mewakili beberapa wakil rakyat gesa BNM siasat dan kaji tindakan syarikat insurans yang keluar notis kenaikan premium.
KUALA LUMPUR:
Bank Negara (BNM) digesa menyiasat dan mengkaji semula tindakan syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan premium insurans, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Beliau yang mewakili beberapa Ahli Parlimen berkata BNM tidak harus membiarkan perkara ini dengan alasan ia merupakan keputusan perniagaan oleh syarikat.

“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup boleh melaksanakan siasatan pengambilan keuntungan berlebihan (excessive profiteering) ke atas kenaikan 10 sen sebiji telur, kenapa BNM tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh sehingga beratus peratus kenaikan premium?

“Kenapa pihak berkuasa tidak boleh menyiasat adakah kenaikan caj hospital swasta sebagai pengambilan keuntungan berlebihan?” katanya pada sidang media di Parlimen.

Sim berkata beliau membangkitkan isu kenaikan caj hospital swasta dan kenaikan premium insurans kesihatan dalam sesi perbahasan peringkat jawatan kuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kesihatan pada Selasa.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad bahawa beliau akan mengadakan konsultasi bersama hospital swasta untuk mencapai pendirian penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

“Saya menaruh harapan menteri boleh berjaya,” katanya.

Beliau juga berasa kesal dengan kenyataan media oleh Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan antara 40% hingga 70% sebagai tidak sangsi dan berpatutan.

Katanya, kenyataan Kuljit berkaitan premium insurans kesihatan amat dikesali kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah.

“Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan berkait rapat secara langsung dan tidak langsung berhubung kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi serta tidak terkawal.

“Caj hospital swasta yang melonjak sudah menjadi bebanan yang tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka melepaskan kos kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.