Bicara kes Muhyiddin dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Bicara kes Muhyiddin dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Kes terbabit melibatkan tuduhan menyebut perkataan menghasut pada kempen PRK Nenggiri Ogos lepas.

Muhyiddin Yassin's
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung Yang di-Pertuan Agong semasa kempen PRK Nenggiri Ogos lepas.
KOTA BHARU:
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin untuk memindahkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Azmi Abdullah itu berkaitan dengan tuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK Nenggiri Ogos lepas.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata, antara alasan dibentangkan pihaknya adalah terdapat isu-isu perundangan rumit dan kesulitan luar biasa yang dijangka timbul, khususnya berkaitan dengan isu keperlembagaan beberapa peruntukan Akta Hasutan 1948.

“Kes ini melibatkan mantan perdana menteri dan mendapat liputan media yang meluas serta berkepentingan awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 4 Nov lepas, barisan peguam Muhyiddin mengemukakan permohonan memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Sebelum ini, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu pada 14 Ogos lepas.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15 untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.