Anak penyanyi 90an, rakan didakwa curi Ferrari di pusat cuci kereta

Anak penyanyi 90an, rakan didakwa curi Ferrari di pusat cuci kereta

Mohd Aliff Naim Mohd Azmir dan Norqyyum Zainori didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu pada 17 Nov lepas.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua lelaki, termasuk anak penyanyi sebuah kumpulan terkenal era 90an, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan mencuri sebuah kereta mewah milik seorang ahli perniagaan dua minggu lepas.

Anak penyanyi itu, Mohd Aliff Naim Mohd Azmir, 38, dan Norqyyum Zainori, 29, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, mencuri sebuah Ferrari bernilai RM300,000 milik seorang wanita berusia 53 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang pada 17 Nov.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Kedua-dua lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan menyimpan harta curi dengan mengetahui bahawa kenderaan itu ialah harta curi pada tempat, masa dan tarikh sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala Mohd Aliff Naim dan Norqyyum masing-masing diwakili Mohd Firdaus dan Wan Nur Afifah Che Bakar selaku peguam.

Terdahulu dilaporkan polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kereta mewah pada 17 Nov di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan ketika itu berkata, daripada kesemua suspek berusia antara 23 hingga 40 tahun itu, hanya seorang mempunyai dua rekod jenayah dadah dan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ketika saringan dilakukan, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang rekod.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.