
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata elaun harian itu sebagai usaha menggalakkan mereka menghadiri program disediakan.
Katanya, mereka yang diberi elaun hanya membabitkan kumpulan tidak terlibat aktiviti jenayah sebagaimana suspek yang ditahan.

“Usaha dilaksanakan (untuk tarik minat mereka tampil sertai program pemulihan) antaranya ada majlis agama Islam, Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri telah menawarkan bantuan kewangan seperti elaun harian bagi mereka yang hadir program pemulihan tersebut, bukan sahaja kepada mereka tapi kepada anak dan isteri mereka,” katanya di Dewan Rakyat.
Zulkifli menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai usaha menarik ahli GIHB hadir program pemulihan akidah memandangkan jumlah kehadiran sukarela masih rendah.
Katanya, mereka yang ditahan perlu menjalani pemulihan khusus, dan anak-anak yang diletakkan di pusat perlindungan juga dilibatkan dalam program pemulihan.
Beliau memaklumkan menerusi program rehabilitasi 90 hari secara sukarela kepada seluruh ahli GISBH, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jakim dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Negeri dan MKN negeri telah memulakan projek rintis pada 7 Nov lalu di rumah pemulihan Mais.
Menurutnya, program itu mengguna pakai modul Istitabah Mais dan penilaian akan dilaksanakan setiap 30 hari selepas sesi pemulihan.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata kerajaan melalui agensi terlibat turut memberi fokus membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak ditinggalkan oleh ahli GISBH, termasuk mereka yang layak menerima bantuan kewangan.
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 14 Nov lalu memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusinya Nooh Gadut berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 Sept lalu yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.