5 pegawai kadet UPNM diberhenti, diarah bayar ganti rugi, kata menteri

5 pegawai kadet UPNM diberhenti, diarah bayar ganti rugi, kata menteri

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata langkah itu tidak tertakluk tindakan lain diambil UPNM serta Jabatan Peguam Negara.

Amirul Iskandar Norhanizan UPNM-KES DERA BULI-KL HIGH COURT
Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan antara lima pegawai kadet UPNM diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi. Pada 8 Nov, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan di Mahkamah Sesyen KL.
PETALING JAYA:
Lima pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi kerana terbabit dalam tiga kes penganiayaan, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Khaled berkata, mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang semalam, meluluskan syor terbabit selain menjelaskan langkah itu tidak tertakluk tindakan lain diambil UPNM serta Jabatan Peguam Negara.

“ALK mengesyorkan tindakan terhadap lima orang pelaku itu termasuklah pembatalan pelantikan sebagai PK, pemberhentian kerja daripada perkhidmatan tentera dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan yang dikira daripada perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian,” katanya dalam kenyataan.

Khaled berkata, bagi kes pertama, pelaku Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan telah menekap seterika ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala, pada 28 Okt.

Kena bayar RM189,000

Menurutnya, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) itu dibatalkan pelantikan sebagai PK, selain perlu membayar ganti rugi RM44,600.

“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 Nov dan prosiding masih berjalan,” katanya.

Sementara itu, kes kedua melibatkan tiga pelaku Izzat Izuddin Mohammad Arif (pengambilan 2021); Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pengambilan 2023), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pengambilan 2021) yang melakukan penganiayaan terhadap Alief Ahsreihan Ahslemy.

“Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam tentera, dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan sejumlah RM48,452.75; RM19,481.70, dan RM44,600.20.

Bagi kes ketiga, kata Khaled, melibatkan kes penganiayaan secara fizikal oleh Ammar Hafiy Muhammad Habib (pengambilan 2022) terhadap Yeong Kian Rui dengan melibatkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam tentera, dan dikenakan bayaran ganti rugi RM32,115.95.”

Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi mengelak kejadian berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.