UEM Lestra pacu usaha keselamatan tenaga Malaysia

UEM Lestra pacu usaha keselamatan tenaga Malaysia

UEM Lestra, anak syarikatnya Cenergi dan GLC lain secara aktif mengusahakan biogas, biomass dan mini hidro bagi mempelbagaikan portfolio tenaga boleh diperbaharui negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan fasa kedua Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Ogos lalu. Pelan itu menyasarkan 70% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia kini dalam misi penting merombak strategi tenaganya, seiring perubahan iklim dan peluang meningkatkan pendapatan sehingga bernilai trilion ringgit.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

“Kita sedang beralih ke arah semua aspek ini, bukan sekadar solar malah juga biogas, biodiesel, dan hidrogen hijau.

“Kita mengambil tindakan lebih agresif dan pada kadar lebih pantas,” katanya.

Untuk membina kekuatan tenaga boleh diperbaharui ini, Putrajaya memfokuskannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UEM Lestra Bhd (UEM Lestra) dan anak syarikatnya, Cenergi SEA Bhd (Cenergi), selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas.

Usaha seluruh negara

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyasarkan untuk mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70% menjelang 2050, jauh menjangkaui pegangan 13.3% RE sedia ada dalam campuran tenaga Malaysia.

“Komitmen itu untuk memastikan pencapaian sifar bersih menjelang 2050, dan satu-satunya cara berbuat demikian menerusi tenaga boleh diperbaharui,” kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kepada FMT, sambil menegaskan tekad kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon Malaysia dan membawa negara beralih kepada sumber tenaga lebih bersih.

Peralihan ini menangani kebimbangan melibatkan isu ekonomi dan alam sekitar. Kebergantungan Malaysia terhadap bahan api fosil yang merangkumi lebih 80% penggunaan tenaganya, mempunyai akibat signifikan. Menjelang 2050, negara dijangka menjadi pengimport bersih gas asli, seterusnya menambah perbelanjaannya.

Pada masa sama, ekonomi hijau membawa peluang: peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui mampu menjana peluang ekonomi sehingga RM1.3 trilion dan mewujudkan kira-kira 300,000 pekerjaan menjelang 2050.

Kesan RE terhadap ekonomi dan alam sekitar

Selain mengurangkan pelepasan karbon, peralihan Malaysia kepada RE menyediakan potensi untuk pertumbuhan ekonomi. Langkah itu mewujudkan pekerjaan merentasi pelbagai sektor baharu, memperkasakan bandar pintar, malah sektor tradisional seperti pembuatan dan logistik yang berubah kepada kehijauan.

Cenergi memfokuskan biotenaga, khususnya biogas daripada sektor minyak sawit Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Azizi Tajudin mengetengahkan peluang signifikan untuk berkembang.

“Daripada 450 kilang, hanya 150 (satu pertiga) telah diliputi, bererti masih ada 300 kilang boleh dibangunkan untuk biogas.

“Ini bukan saja mewakili cara untuk menghasilkan tenaga bersih, tetapi juga peluang menyokong kawasan luar bandar dan mewujudkan pekerjaan baharu,” katanya kepada FMT dalam wawancara.

Satu daripada projek biogas Cenergi, loji 5.5 MW Felcra Jayaputra di Jerantut, Pahang menggunakan metana diperoleh daripada sisa buangan minyak sawit bagi menghasilkan tenaga elektrik yang memanfaatkan 300,000 penduduk.

“Jika kita lihat pada biogas, kita sebenarnya mengelak pelepasan metana ke alam sekitar. Selain itu menghasilkan elektrik hijau,” katanya menggariskan manfaat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong ekonomi luar bandar.

Strategi utama dan usaha sama

Bagi memantau dan menyelaras peralihan kepada RE, Malaysia baru-baru ini menubuhkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. UEM Lestra jelas mengorak langkah positif untuk alam sekitar dan ekonomi, menerusi projek solar 1-gigawatt, menurut Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra Harman Faiz Habib Muhamad.

UEM Lestra adalah cabang industri hijau milik penuh UEM Group Berhad.

“Contohnya projek 1-gigawatt kita yang dibuat di bawah program CRESS (Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat), cukup besar untuk menarik Blueleaf Energy dan Hexa Renewables.

“Syarikat itu pemain besar di rantau ini yang memutuskan melabur bersama kita, seterusnya membawa mata wang asing ke dalam negara ini untuk pelaburan,” katanya kepada FMT.

UEM Lestra dan GLC lain secara aktif mengusahakan biogas, biojisim, dan mini hidro untuk mempelbagaikan portfolio RE Malaysia.

“Ia mengenai menggabungkan semua sumber ini untuk mendapatkan asas tenaga yang boleh diyakini,” katanya.

TNB, penyedia tenaga elektrik terbesar negara, juga memajukan infrastruktur boleh diperbaharui menerusi projek seperti ladang solar terapung dan kuasa hidro. Sebagai syarikat utiliti utama Malaysia, pemodenan grid kebangsaan TNB penting untuk mengagihkan tenaga boleh diperbaharui secara berkesan di seluruh negara.

Mengimbangi peralihan: kos, pertukaran dan sasaran jangka panjang

Mencapai sasaran RE Malaysia memerlukan penelitian kos kewangan dan menilai imbangan antara sumber tenaga berbeza. Walaupun solar dan biogas penting ke arah strategi ini, tenaga nuklear masih dipertimbangkan sebagai penyelesaian karbon rendah.

“Jika anda bercakap mengenai sasaran 2050, nuklear perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan itu,” kata Hairol dengan menegaskan pentingnya mempertimbangkan semua pilihan tenaga dalam strategi komprehensif.

Untuk menyokong sektor itu, kerajaan juga mengurangkan subsidi bahan api fosil dan merancang memperkenalkan cukai karbon. Menurut Harman, perubahan dasar ini akan membantu menjadikan projek RE lebih berdaya maju dari segi ekonomi untuk perniagaan.

“Pendekatan diambil kerajaan adalah sebagai pendorong ekonomi lebih masuk akal dari segi kewangan. Pada masa sama membantu bumi,” katanya.

Langkah seterusnya: merapatkan jurang

Dalam mencapai sasaran 70% RE menjelang 2050, ia bergantung kepada usaha syarikat seperti UEM Lestra, Cenergi, TNB, dan Petronas, yang memacu projek boleh diperbaharui sambil menyumbang ke arah mewujudkan pekerjaan, pembangunan luar bandar dan pertumbuhan industri hijau.

Harman menjelaskan, kesan keseluruhan semua usaha ini akan membawa kepada titik perubahan besar: “Semua ini secara semula jadi membawa kepada keadaan orang dan perniagaan menyedari sekadar mengikut status quo tidak mencukupi.”

Perjalanan tenaga boleh diperbaharui Malaysia menghadapi pelbagai cabaran, termasuk desakan infrastruktur dan pengurusan kos, tetapi manfaat ekonomi dan alam sekitar yang dijangka diperoleh meletakkan negara dalam kedudukan yang mampu memastikan masa depan tenaga lestari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.