
Hakikatnya, Sarawak berkemungkinan mengalami lebih banyak kerugian berbanding apa diharapkan untuk diraih daripada tuntutan mengawal pengedaran dan penjualan gas asli yang diekstrak dalam sempadannya, kata pakar.
Buat permulaan, pelaburan berbilion dalam infrastruktur minyak dan gas (O&G), yang kini ditaja jamin syarikat gas negara, Petronas, berkemungkinan akan mengering.
Kedua, jika Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dilantik agregator minyak dan gas untuk negeri, ia mungkin tidak mampu mencapai harga yang adil seperti Petronas, yang berupaya berurusan dengan pemain besar dalam industri.
Sarawak sudah sekian lama berpandangan negeri itu dipinggirkan dalam pengagihan kekayaan minyak negara, walaupun negeri itu mengeluarkan sebahagian besar komoditi berkenaan.
Menurut kerajaan persekutuan, 60.87% rizab simpanan minyak negara berada di Sarawak. Sarawak juga menyumbang hampir 90% eksport gas asli Malaysia.
Namun, negeri hanya menerima 5% royalti daripada keseluruhan pendapatan minyak negara, berjumlah RM2.8 bilion tahun lalu.
Apa dipertaruhkan
Pemain industri dan pakar menyuarakan kebimbangan terhadap menjadikan Petros sebagai agregator tunggal gas untuk Sarawak membawa kesan buruk.
Sebagai tambahan kepada kawal selia pengedaran, peruntukan eksport dan penetapan harga, agregator juga bertanggungjawab mengekal dan membangunkan infrastruktur pengedaran gas, tanggungjawab yang sedang dipikul Petronas.
Walaupun tiada angka rasmi didedahkan, tidak dapat dinafikan Petronas membelanjakan berbilion ringgit membangunkan infrastruktur O&G Sarawak dan sektor terbabit keseluruhannya sejak berdekad lalu.
Ramai menyatakan kekhuatiran akan ada kesan negatif teruk terhadap sektor O&G Sarawak, jika Petros tidak dapat menggantikan Petronas sebagai pelabur jangka panjang.
“Apa sahaja perbelanjaan modal yang sepatutnya dikeluarkan Petroleum mesti kemudian ditanggung oleh Petros,” kata seorang penganalisis yang enggan dinamakan kepada FMT.
Melainkan Petros mempunyai kapasiti membelanjakan jumlah sama atau lebih, sektor O&G Sarawak akan berdepan kerugian akhirnya.
Bagi mendapatkan gambaran saksama berkait sejauh mana perbelanjaan modal Petronas di Sarawak, apa perlu dilakukan adalah melihat keseluruhan pelaburan syarikat minyak negara.
Pada 2023 sahaja, Petronas melabur RM26 bilion dalam sektor O&G di Malaysia, termasuk Sarawak.
Impak terhadap pendapatan dan pelaburan
Petros bukan satu-satunya pihak yang akan berdepan kerugian. Firma penyelidikan bersetuju Petronas juga berdepan perkara sama jika menyerahkan kawalannya kepada Petros.
Penganalisis berkata, pendapatan Petronas boleh terjejas andai Petros diberikan laluan, terutama menjejaskan keuntungan tahunannya berjumlah RM20 bilion hasil pengeluaran gas di Sarawak.
Ia akan mengurangkan perbelanjaan modal masa depan syarikat minyak negara itu, tertumpu dalam segmen gas dan operasi huluan di seluruh negara.
Sumber terdekat dengan perkara itu menyuarakan kebimbangan Petros tidak mampu mengisi kelompongan pembiayaan, mengambil kira Sarawak berkehendak Petronas keluar daripada aktiviti hilirannya sahaja.
“Mereka hanya mahu aktiviti Petronas hanya di peringkat huluan sahaja,” kata sumber itu kepada FMT.
Dalam sektor O&G, operasi huluan – atau dikenali sebagai penerokaan dan pengeluaran-secara umumnya melibatkan kos tinggi.
Terutamanya di Laut China Selatan, sebahagiannya kerana keadaan cuaca, kedalaman laut dan peningkatan ketegangan dari China berkait tuntutan ke atas beberapa kepulauan.
“Kita akan berdepan kerugian cukup besar kepada Indonesia jika (Sarawak dan Petronas) tidak dapat menyelesaikannya, kerana tiada pihak berbelanja secukupnya atau mereka tidak berbelanja pada tempat yang betul,” kata penganalisis itu. “Inilah perkara sangat menyedihkan. Kita rakyat Malaysia tidak mahu melihat ia berlaku.”
Pendirian antarabangsa
Pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah berterus terang dalam penilaiannya melibatkan tuntutan Sarawak.
“Petros?” katanya dalam maklum balas terhadap soalan dikemukakan ketika temu bual eksklusif bersama FMT. “Anda boleh mempunyai 10 badan seperti itu (Petros), namun ia tidak akan sama seperti Petronas.”
Beliau mengetengahkan bahawa Petronas menguasai minyak “bagi pihak rakyat Malaysia”, dan ia jelas termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974, di mana sektor O&G dimiliknegarakan di bawah satu syarikat dikawal kerajaan persekutuan.
Tengku Razaleigh berkata, ia demi memastikan Malaysia menerima tawaran lebih baik apabila berurusan dengan “Seven Sisters”.
Ia merujuk kumpulan syarikat multinasional yang berkuasa mendominasi pengeluaran O&G pada 1970-an. “Seven Sisters” meliputi Shell dan Exxon, yang menjadi pemain terbesar dunia dalam industri.
Tengku Razaleigh berkata, hanya syarikat minyak nasional seperti Petronas, yang mendapat sokongan penuh persekutuan, berkemampuan mengelak untuk dijadikan tunggangan syarikat global.
Katanya, meskipun Petronas, malah dirinya sendiri boleh masuk dalam pejabat Shell atau Exxon dan diberi pengiktirafan, termasuk “dilayan sama taraf”, Petros tidak mampu melakukan sedemikian.
Katanya, melantik Petros menggantikan Petronas hanya melemahkan Sarawak dalam rundingan dengan syarikat terkemuka minyak.
Mencari keadilan
Kerajaan Sarawak mendasari tuntutannya bagi menjadikan Petros sebagai agregator tunggal gas di negeri itu adalah sejajar dengan rundingan pengembalian autonomi ke atas sumber aslinya, menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia memberikan pampasan lebih tinggi kepada Sarawak bagi pengekstrakan minyak dan gas daripada wilayahnya.
Sarawak mahu penguasaan peruntukan melibatkan gas asli dinaikkan kepada 30% berbanding 5% ketika ini, bagi memenuhi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak 2030, rancangan 10 tahun bagi memanfaatkan gas memacu pertumbuhan mampan.
Bagaimanapun, Tengku Razaleigh berpandangan perspektif itu terlepas pandang manfaat Sarawak dinikmati selepas menjadi sebahagian Persekutuan Malaysia.
Terutama, kerajaan persekutuan menanggung perkhidmatan seperti pertahanan, yang mana Sarawak secara konsisten menuntut perlindungan ke atas sumber O&G, di tengah-tengah ketegangan di Laut China Selatan.
Tengku Razaleigh juga menekankan kerajaan persekutuan juga meningkatkan pembiayaan pembangunan untuk Sarawak sekian lama, sebagai mengimbangi rungutan masa lalu.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-12, sejumlah RM4.8 bilion telah diperuntuk kepada Sarawak bagi 2025. Negeri berkenaan akan menerima RM5.9 bilion lagi dalam belanjawan tahun depan.