Peruntukan lebih RM16 juta tambah baik kemudahan monorel

Peruntukan lebih RM16 juta tambah baik kemudahan monorel

Peruntukan itu bagi melengkapkan semua stesen dengan pintu platform automatik serta membaik pulih lif dan eskalator, kata Loke Siew Fook.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook meninjau operasi dan fungsi PAGS di Stesen Monorel KL Sentral hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memperuntukkan RM16.81 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kesemua 11 stesen monorel di ibu negara secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, peruntukan kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu melibatkan RM6.81 juta bagi melengkapkan semua stesen dengan fungsi Pintu Platform Automatik (PAGS), selain RM10 juta untuk membaik pulih kemudahan lif dan eskalator.

Peruntukan ini sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna di platform sekali gus menarik lebih ramai pengguna, katanya.

“Sebelum ini, PAGS sudah dipasang pada 2016, cuma projek itu tergendala kerana masalah teknikal dan isu signal sehingga pintu tidak boleh ditutup secara automatik. Ini memberi masalah kepada pengguna di platform termasuk isu keselamatan dengan 10 kes terjatuh ke trek monorel direkodkan sejak 2017.

“Jadi kita teruskan naik taraf projek ini pada awal tahun, hasilnya PAGS sudah berfungsi di Stesen KL Sentral dan Tun Sambanthan. Empat lagi, iaitu Stesen Maharajalela, Imbi, Hang Tuah dan Bukit Bintang, siap minggu ini manakala selebihnya sebelum akhir tahun,” katanya.

Loke berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi dan fungsi PAGS di Stesen Monorel KL Sentral hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pembaikan serta penyelenggaraan lif dan eskalator di semua 11 stesen monorel pula dijangka siap sepenuhnya menjelang April depan.

“Kita terima banyak aduan, terutama daripada golongan OKU (Orang Kurang Upaya) mengenai kesusahan akses platform dan kawasan monorel kerana banyak fasiliti berkenaan rosak, jadi kita akan percepat usaha ini termasuk menggantikan terus mana-mana lif yang rosak,” katanya.

Selain itu, dalam usaha menambah kekerapan perkhidmatan monorel daripada tujuh minit ketika ini kepada sekurang-kurangnya lima minit, Loke berkata, kontrak sudah dianugerahkan untuk menambah tiga lagi set gerabak monorel.

“Ketika ini, purata pengguna monorel ialah 60,000 sehari dan kita melihat ada keperluan untuk menambah gerabak selari peningkatan pengguna pengangkutan awam, jadi anggaran kita dalam 24 bulan atau pada 2026 akan terima gerabak itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.