
Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan, pembelian hartanah Beaumont House (London) dan Dudley International House, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street (Melbourne) tidak mendapat kebenaran Kementerian Kewangan ketika itu, namun perkara tersebut dibawa ke Majlis Ekonomi dan telah mendapat kelulusan.
Katanya, kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini masih dalam perbicaraan mahkamah.
“Penemuan itu antara dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dalam kenyataan.
Justeru, beliau berkata bagi mengelakkan skandal sama berulang PAC mengesyorkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) dan Mara Inc memastikan cadangan pelaburan dalam dan luar negara seperti hartanah mematuhi dasar terkini kerajaan dengan memberi keutamaan dalam pelaburan domestik.
“Cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan MoF terlebih dahulu dan keputusan MoF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, penemuan dan syor berhubung pengurusan Mara Inc hasil tiga prosiding dijalankan pada 30 Julai, 31 Julai dan 19 Sept lalu.
Sementara itu, PAC juga berpandangan tindakan Mara Inc memohon penukaran hutang sedia ada Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015 seharusnya tidak berulang.
“PAC mengesyorkan KKDW, Mara, Mara Corp dan Mara Inc perlu memastikan Premiera Hotel mempunyai perancangan yang jelas untuk memastikan penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat,” katanya.
Dalam laporan itu, Mas Ermieyati berkata PAC turut mengesyorkan semua projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah dan projek tenaga boleh baharu serta pelan pemasaran anak syarikat KKDW itu disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan agar dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi.
“Mara Corp perlu tegas dalam mengawal selia semua anak syarikatnya supaya dapat menjana keuntungan dan mampu membayar balik hutang dan membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan,” katanya.