PDC tolak bidaan RM818 juta Taman Perindustrian Batu Kawan, kata sumber

PDC tolak bidaan RM818 juta Taman Perindustrian Batu Kawan, kata sumber

Sebuah konsortium tiga pihak diketuai IJM Berhad mengemukakan bidaan itu melalui tender terbuka, tetapi ditolak.

baru kawan
Penjualan tanah perindustrian di Batu Kawan sebelum ini menjadi kontroversi susulan dakwaan ia diperoleh bawah harga pasaran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menolak bidaan RM818 juta oleh konsortium tiga pihak diketuai IJM Berhad untuk membangunkan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP 2) di Byram, kata sumber.

Tawaran itu dikemukakan melalui permintaan untuk cadangan (RFP) akhir tahun lalu.

Tetapi, FMT difahamkan PDC menolak tawaran itu tanpa memberikan alasan.

Sumber yang biasa dengan proses bidaan mendedahkan PDC menyenarai pendek tujuh syarikat dan kumpulan dalam proses prakelayakan, tetapi hanya konsortium diketuai IJM mengemukakan bidaan.

“RM818 juta itu bidaan tertinggi, melebihi harga rizab tanah itu RM780 juta,” kata sumber yang enggan dinamakan itu.

“Ia juga RM179 juta lebih tinggi daripada perjanjian terus yang dibatalkan sebelum ini.

“Selepas setahun proses RFP, bidaan itu ditolak dan tender baharu ditawarkan. Ini menimbulkan kebimbangan serius mengapa bidaan itu ditolak.”

Dalam jawapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Jumaat lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga pengerusi PDC mendedahkan RFP kedua akan dilaksanakan kerana bidaan terdahulu tidak memenuhi lima daripada sembilan syarat ditetapkan.

Beliau tidak mendedahkan butiran bidaan yang dikemukakan, jumlah atau alasan khusus cadangan itu ditolak.

Dalam jawapan lain pada hari sama, Chow berkata, pembatalan perjanjian terus berkaitan tanah sama menelan belanja PDC sebanyak RM100 juta dalam keuntungan dan membawa kepada pembayaran faedah lebih tinggi kerana tanah itu dibeli melalui pinjaman bank.

Menurutnya, kos mengekalkan tanah itu meningkat, memberi tekanan kepada aliran tunai PDC.

Projek BKIP 2 terpalit kontroversi sejak dilancarkan pada Oktober 2023. Sebelum ini, PDC menjual tanah di Byram kepada Umech Land Sdn Bhd melalui urus niaga terus pada harga RM20.50 sekaki persegi, yang menurut pengkritik jauh di bawah nilai pasaran.

Perjanjian itu dibatalkan pada Oktober 2023 selepas pemaju hartanah Sunway Group memperoleh 70% pegangan dalam Umech Land melalui anak syarikatnya, Sunway Bukit Gambier Sdn Bhd.

Penjualan itu mendapat kritikan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang dan beberapa penyokong, yang mendakwa tanah itu dijual bawah nilai pasaran dan tanpa tender terbuka.

Kerajaan negeri mempertahankan penjualan itu, atas alasan tanah terbabit berdekatan tapak pelupusan dan keadaannya sebagai “tanah mentah”. Selepas bantahan orang ramai, kerajaan membatalkan perjanjian itu dan memulakan tender terbuka.

FMT sudah menghubungi IJM Berhad dan PDC untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.