
N Deanesh, 53, mengangguk tanda faham selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lapor Sinar Harian.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kematian Catherine Daniel di sebuah rumah di Taman OUG antara 21 hingga 26 Mac 2021.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal.
Tiada jaminan diberikan bagi tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, perubatan dan DNA.
Dilaporkan, pada 12 Nov mayat wanita itu ditemukan susulan laporan oleh anak lelakinya yang memberitahu polis dia membunuh ibunya pada 2021 sebelum menyimpannya dalam peti sejuk beku.
Mayat mangsa dilaporkan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.