Kenaikan premium insurans berpatutan, kata persatuan hospital swasta

Kenaikan premium insurans berpatutan, kata persatuan hospital swasta

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata kenaikkan itu menyokong pembangunan penjagaan dan teknologi perubatan.

doctor
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata kenaikan itu boleh menyebabkan permintaan terhadap rawatan di hospital swasta menurun dan pesakit beralih ke hospital kerajaan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Persatuan Hospital Swasta Malaysia mempertahankan lonjakan premium insurans perubatan yang dijangka tahun depan, dengan alasan ia akan menyokong pembangunan dalam penjagaan dan teknologi perubatan.

Presidennya, Dr Kuljit Singh, berkata keadaan itu bakal meningkatkan hasil dan kualiti rawatan.

Justeru itu katanya, kenaikan premium dijangka antara 40% hingga 70% itu “tidak sangsi lagi berpatutan”.

Bagaimanapun, Kuljit, mengakui kenaikan itu memberi kesan kepada penyedia, pesakit, dan juga syarikat insurans.

Dr Kuljit Singh.

“Jika kenaikan ini disertakan dengan perlindungan yang lebih baik, ia dapat membolehkan mereka yang terus dilindungi memanfaatkan kemajuan dalam rawatan dan teknologi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kenaikan yang besar juga akan memberi kesan jangka pendek hingga sederhana, termasuk penurunan mendadak jumlah pemegang perlindungan insurans perubatan.

Katanya, ini boleh menyebabkan permintaan terhadap rawatan di hospital swasta menurun dan pesakit, terutamanya golongan berpendapatan sederhana, beralih ke hospital kerajaan.

“Jumlah kenaikan perlu adil untuk semua pihak, terutama pesakit dan pemegang polisi,” katanya.

Terdahulu hari ini, Utusan Malaysia melaporkan polisi insurans perubatan dijangka naik antara 40% hingga 70% tahun depan.

Ini berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna memaklumkan mengenai kenaikan premium itu dengan alasan kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.

Ekoran itu ramai pengguna bertindak menamatkan polisi insurans perubatan mereka kerana tidak lagi mampu menanggung peningkatan pre­mium yang perlu dibayar setiap bulan.

Minggu lalu, sekumpulan Ahli Parlimen PKR mendakwa kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin tinggi memaksa golongan berpendapatan sederhana mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan, sekali gus memburukkan masalah kesesakan di kemudahan tersebut.

Walaupun tidak mengemukakan data untuk menyokong dakwaan itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata kadar kenaikan itu membebankan golongan kelas pertengahan yang kini tidak mampu lagi menampung kos yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.