KDN tak pernah haramkan biografi saya, kata Yeoh

KDN tak pernah haramkan biografi saya, kata Yeoh

Ahli Parlimen Segambut berkata, hantaran FB pensyarah Dr Kamarul Zaman Yusoff jelas berniat memfitnah beliau cuba menyebarkan agama Kristian.

hannah yeoh
Hannah Yeoh berkata, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ adalah sebuah autobiografi mengenai kehidupannya yang turut menyorot penglibatannya dalam politik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hannah Yeoh memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bukunya, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’, telah dicetak 18 kali dan tidak pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),

Hal ini kerana buku itu adalah sebuah autobiografi mengenai kehidupannya termasuk pengalaman peribadi yang jelas menyorot penglibatannya dalam politik, kata Ahli Parlimen Segambut itu.

“Pada helaian muka surat ‘Becoming Hannah’, secara jelas dan teliti menyatakan ia satu pengalaman peribadi atau perjalanan peribadi. Buku ini diulang cetak banyak kali selama ini dan tidak pernah diharamkan oleh KDN.

“Hantaran defendan (pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff) jelas dikeluarkan dengan niat untuk untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnah saya dengan menggambarkan saya sebagai seorang ahli politik yang cuba menyebarkan agama Kristian menerusi kerjaya saya dalam politik.”

Hannah yang juga menteri belia dan sukan berkata demikian dalam kenyataan saksinya di depan Hakim Datuk Aliza Sulaiman ketika pendengaran kes saman fitnahnya terhadap Kamarul Zaman berhubung dua catatan Facebook yang dibuat pensyarah itu pada Mei 2017.

Beliau berkata, sikap Kamarul Zaman jelas menunjukkan pensyarah itu tidak boleh menerima bahawa Hannah mempunyai hak mengamalkan agamanya secara bebas di negara ini.

“Sehubungan itu, bahasa dan pilihan perkataan digunakan defendan (Kamarul Zaman) termasuk istilah seperti munafik, berdakwah, menggunakan kedudukan politik, memanggil sesama ahli Kristian, pendakwah, memujuk, mempengaruhi hasutan, misi, dan kesalahan, sengaja menimbulkan skandal, kontroversi, berunsur jenayah dan tidak munasabah serta menghasut.

“Defendan berulang kali menyalah guna kedudukannya untuk membuat tuduhan salah dan tidak berasas kepada para pemimpin politik DAP termasuk saya walaupun dalam kapasiti sebagai penganalisis politik yang didakwanya sendiri,” katanya.

Menurut Yeoh, tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam menyimpang daripada agama dengan membaca ‘Becoming Hannah’, sebaliknya buku itu diperakui oleh pemimpin Muslim di negara ini.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, mendakwa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Yeoh memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebook tu tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.

“Sebagai seorang pensyarah dan orang Islam, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

“Sebagai seorang penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia,” katanya.

Perbicaraan bersambung pada 14 Jan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.