
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan, berkata SWSI selama 14 jam dijadualkan dari 10 malam Khamis hingga 12 tengah hari Jumaat.
“Semasa SWSI, pengguna air termasuk hotel antarabangsa di kawasan Bagan Jermal, Batu Ferringhi, Mount Erskine, Tanjung Tokong, Tanjong Bungah, Tanjung Pinang dan Teluk Bahang tiada bekalan air atau menghadapi tekanan air rendah buat sementara waktu.
“SWSI itu berkaitan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Batu Ferringhi yang mengeluarkan air terawat dibekalkan ke kawasan terjejas dan PBAPP perlu menggantikan injap 900mm rosak dalam LRA,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, beliau berkata, petugas PBAPP dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan kerja servis elektrik voltan tinggi dan penyelenggaraan pencegahan.
Menurutnya, kerja itu akan memastikan LRA Batu Ferringhi beroperasi secara optimum dan meminimumkan risiko kerosakan loji ketika penggunaan air tinggi serta perubahan iklim.
Beliau berkata, PBAPP memohon maaf atas kesulitan itu dan meminta pemahaman semua pengguna air terjejas.