Diancam boikot beri makan anjing, pemilik restoran terkejut premis dapat sambutan

Diancam boikot beri makan anjing, pemilik restoran terkejut premis dapat sambutan

Pengusaha restoran mahu dikenali sebagai Masha berkata selepas tular video beri makan anjing premisnya dikunjungi ramai pelanggan.

Masha tidak menyangka kedainya mula dipenuhi pelanggan yang datang menyokong usahanya memberi makan anjing jalanan.
PETALING JAYA:
‘Anjing itu haram, orang tengok pun jijik!’ Itu tohmahan diterima pengusaha restoran tular di TikTok apabila ada pihak cuba memboikot kedainya di Johor Bahru semata-mata kerana memberi haiwan jalanan itu makan.

Pengusaha Restoran Salaistar mahu dikenali Masha, 50, berkata dia baru empat bulan membuka perniagaan itu.

Katanya, bulan pertama dan kedua perniagaan berjalan lancar, namun memasuki bulan ketiga jualan turun mendadak.

Masha.

“Sebulan lebih juga ada masalah jualan, saya pun hairan kenapa tiba-tiba jadi macam ini sedih saya rasa, saya sudah keluar modal nak bayar gaji pekerja, lepas itu saya terfikir ada orang cuba buruk-burukkan saya ke,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Masha berkata telahannya terjawab apabila pada hari kejadian video tular itu diambil, dia didatangi dua individu tidak dikenali dengan nada dan bahasa kasar, menggertak mahu memboikot restorannya.

“Tak sangka apa yang risaukan rupanya memang betul, dua orang ini mereka tegur saya cakap ‘awak Melayu kan? Islam? Kenapa nak bagi anjing makan, anjing itu haram, orang tengok pun jijik.

“Malah, mereka gertak untuk sebarkan gambar saya memberi anjing makan supaya penduduk di situ memboikot kedai saya,” katanya yang tidak menyangka video itu mendapat perhatian warganet sehingga tular.

Selepas videonya tular, Masha mendapati kedainya mula didatangi pelanggan yang bukan sahaja menjamu selera, malah memberikan kata-kata semangat supaya meneruskan bakti kepada haiwan jalanan.

“Tak putus-putus orang datang, serba salah saya jadinya mereka datang sokong perniagaan saya, bagi kata-kata semangat, tapi ralat sikit tak dapat bagi perkhidmatan terbaik sebab mana nak tahu akan ramai yang datang kedai,” katanya.

Masha yang juga mempunyai perniagaan menjual makanan dan produk suplemen haiwan, berkata kutukan dan kecaman adalah perkara pahit yang perlu ditelan bagi pencinta haiwan sepertinya.

“Tapi, ketika saya bagi Milo (anjing jalanan) yang di dalam video saya itu makan, saya sedih teringatkan kata-kata orang yang nak boikot itu, Milo baik dia bukan jenis masuk kedai, dia datang pun jauh minta makan, saya bagi makan pun jauh dari kedai.”

Sementara itu, Khairin, 27, yang juga anak kepada Masha dan pembantu di restoran tersebut, menegaskan sebagai Muslim, mereka amat memahami keperluan menjaga batas dengan anjing.

“Sebenarnya pencinta haiwan ini majoritinya akan mengalami situasi sama, bila mereka bagi macam anjing makan, akan ada sikap prejudis.

“Kita tak pegang, kita tak peluk, tak sentuh pun. Setiap makhluk perlukan pertolongan kita bantulah tidak jadi masalah,” katanya yang turut menekankan aspek kebersihan dan halal sentiasa menjadi keutamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.