85% penjawat awam tandatangan opsyen SSPA, kata KSN

85% penjawat awam tandatangan opsyen SSPA, kata KSN

Shamsul Azri Abu Bakar berkata 15% lagi yang belum tandatangan menjelang tarikh akhir 30 Nov dipercayai terima maklumat tidak tepat di media sosial.

office
Penjawat awam diberi tempoh sehingga 30 Nov memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Dis.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 85% daripada 1.4 juta penjawat awam menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini, menjelang pelaksanaan sistem itu yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Dis, kata Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperkasakan sesi penerangan untuk memastikan baki 15% lagi penjawat awam memilih opsyen berkenaan.

“Dari segi peratusan, 85% sudah setuju menandatangani SSPA. Yang baki (15%), saya difahamkan JPA akan ‘all out’ buat penerangan sebab ada yang masih tidak jelas disebabkan mereka terima maklumat tidak tepat yang diperoleh di media sosial,” katanya.

Shamsul Azri berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Taat Setia Reformasi Penjawat Awam’ pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani: Taat Setia anjuran Akademi Kenegaraan (AKM).

Pada 13 Sept lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt hingga 30 Nov ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Dis ini.

Susulan itu, Shamsul Azri menasihatkan penjawat awam yang masih keliru mengenai manfaat SSPA agar tidak sewenang-wenangnya menerima maklumat yang diperoleh dari media sosial sebaliknya membuat rujukan dengan JPA.

“Allah berfirman dalam surah al-Fatihah ‘ikutlah jalan yang lurus’. Sebab apa yang perkenal SSPA adalah JPA, maka rujuklah kepada JPA, dengarlah nasihat mereka, dan ikutlah sesi libat urus yang dijalankan oleh JPA,” katanya.

Beliau mahu JPA dijadikan sebagai sumber rujukan yang sahih bagi kesemua penjawat awam di negara ini bagi mengelak sebarang kekeliruan yang boleh menghalang mereka daripada membuat pilihan yang tepat berkaitan opsyen SSPA.

“Jangan hanya dengar kata-kata kawan di media sosial. Kadang-kadang mereka bukan kerja dengan kerajaan. Jadi bagaimana mereka boleh faham dan memberi nasihat mengenai SSPA,” katanya.

Pada 12 Nov, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Panggilan Setempat (PPS) SSPA sebagai platform untuk memberi penjelasan tepat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan penjawat awam berhubung sistem saraan baharu itu.

Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 Septe lepas, sebanyak 54 sesi libat urus telah dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saraan itu.

Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang lebih besar, bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam selain membantu mengurangkan kos sara hidup bagi pegawai awam.

Sistem saraan baharu ini dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia Madani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.