
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata semua remaja termasuk dua perempuan berusia 15 hingga 19 tahun itu ditahan di Shah Alam dan Kuala Lumpur pada 18 dan 19 Nov lalu, lapor Berita Harian.
Katanya, tangkapan itu susulan laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 47 tahun yang memaklumkan anak perempuannya tidak pulang selepas keluar rumah pada 16 Nov lalu.
Cha berkata, bapa mangsa juga memberitahu dia menerima pesanan suara daripada nombor telefon anaknya yang memintanya mengambil remaja itu di satu lokasi Subang.
“Menerusi pesanan suara itu, mangsa dipercayai sedang bertengkar dengan seorang lelaki. Apabila pengadu ke lokasi yang diberikan, mangsa tiada di situ.
“Pengadu kemudian menerima pesanan yang memaklumkan mangsa akan dilepaskan di kawasan Kuala Lumpur. Apabila pengadu menyatakan akan membuat laporan polis, suspek bertindak mengugut untuk menjual mangsa serta meminta wang ganti rugi jika mahu mangsa dipulangkan,” katanya.
Katanya, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuat serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, Shah Alam pada 18 Nov lalu dan menemui mangsa dalam keadaan selamat.
“Semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, semua remaja itu masing-masing direman sehari dan empat hari untuk membantu siasatan.