Polis buru warga asing lari dari mahkamah

Polis buru warga asing lari dari mahkamah

Suspek yang dibawa ke mahkamah untuk sebutan kes dadah itu melarikan diri dengan kedua-dua tangan bergari ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan.

Ashari Abu Samah
Suspek berusia 30-an itu tiba-tiba menolak pegawai pengiring dan melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah, menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Ashari Abu Samah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis melancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan seorang lelaki warga asing berusia 30-an yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah, Melaka.

Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.30 pagi tadi daripada pegawai kastam yang memaklumkan suspek melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangan bergari kira-kira 10.10 pagi.

“Suspek disyaki memanjat pagar ke arah kawasan semak berhampiran.

“Ketika kejadian, suspek dalam perjalanan dibawa masuk ke dalam kenderaan dan tiba-tiba menolak pegawai pengiring lalu melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah,” katanya lapor Bernama.

Ketika kejadian, lelaki itu yang memakai kemeja T warna biru muda dan berseluar panjang putih dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kes berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Usaha mengesan suspek turut dibantu Unit Anjing Pengesan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ashari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi IPD Alor Gajah atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.