Kos lawatan luar negara: Tiada perselisihan kepentingan kerajaan-swasta, kata PM

Kos lawatan luar negara: Tiada perselisihan kepentingan kerajaan-swasta, kata PM

Anwar Ibrahim ulangi kerajaan tidak menggunakan dana syarikat swasta untuk membiayai lawatan rasminya ke luar negara, baru-baru ini.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim meminta orang ramai tidak terperangkap dengan fitnah zaman edan.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada perselisihan kepentingan antara kerajaan dan swasta dalam isu kos lawatan bersama delegasi dan pihak industri ke luar negara, baru-baru ini.

“Saya ulang, Kerajaan tidak guna dana syarikat swasta.

“Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya di Facebook.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center Pushpan Murugiah berhubung kos lawatan Anwar ke luar negara.

Beliau mendakwa tindakan perdana menteri menggunakan dana syarikat swasta mengikuti urusannya ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit untuk memohon balasan.

Anwar turut menjelaskan tindakan kerajaan menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan ke empat negara baru-baru ini telah menjimatkan perbelanjaan.

“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara itu untuk tujuan pelaburan atau usaha sama.

“Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.

“Jika guna jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara,” katanya menjelaskan kerajaan hanya berbelanja RM1.6 juta untuk menanggung kos delegasi kerajaan.

Anwar melakukan lawatan kerja Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil mulai 9 Nov hingga 19 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.