
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata Tiong sepatutnya mempertahankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam papan tanda.
“Kenyataan menteri (Tiong) bahaya dan memalukan. Seolah-olah merendahkan pelancong dari negara lain. Tengok Indonesia atau Thailand mereka tidak sibuk ‘meminta sedekah’ dengan penggunaan bahasa pelancong, tapi Malaysia buat macam itu,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
“Usah Tiong buat drama dan memetik agenda perkauman. Sebenarnya, beliau yang membakar isu 3R di dalam dan luar negara hanya untuk menghalalkan isu papan tanda ini,” katanya sambil menambah Tiong hanya sesuai memegang portfolio berkaitan penguatkuasaan.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau mengarahkan Awang Hashim (PN-Pendang) keluar dewan sementara susulan kenyataannya terhadap Chong ZheMin (PH-Kampar).
Kekecohan berlaku selepas Awang mendakwa pemimpin DAP itu tidak mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana mempertahankan Tiong.
Terdahulu, Chong menyifatkan kenyataan Mas Ermieyati sangkaan jahat dan sengaja mengelirukan Dewan Rakyat.
Semalam, Tiong dilaporkan berkata penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan tindak balas melampaui batas dan mampu mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Menurutnya tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
Sebelum ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan meluas tulisan Cina atas papan tanda di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur, yang menurutnya memberi kesan kepada identiti kebangsaan.