
Menurutnya, syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan supaya menarik diri daripada projek yang diumumkan.
Beliau memberi contoh keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) yang menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion namun tidak mendedahkan puncanya.
“Saya pun tahu syarikat-syarikat terbabit di Kedah ini akan dikenakan tekanan macam-macam sekatan dan kes yang saya sebut semalam (projek Langkasuka) saya tahu dia kena apa tapi saya tak mahu ulang dia kena apa.
“Mungkin tak sesuai saya sebut dalam dewan ini tapi ada grand design (perancangan besar) untuk menggagalkan banyak projek-projek yang diambil oleh inisiatif swasta,” katanya pada sidang DUN Kedah hari ini, menurut Harian Metro.
Beliau menjawab soalan lisan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman ) yang meminta penjelasan mengenai keputusan pelabur swasta untuk menarik diri daripada projek-projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri termasuk projek Langkasuka.
Sementara itu, Sanusi menasihatkan Teh agar tidak menjadi ‘mata lalat’ dengan melihat perkara negatif sahaja.
“Perdana menteri (Anwar Ibrahim) sebelum ini umum (pelaburan) Tesla, tapi tak jadi…benda positif tak sebut kutip semua mata lalat, ini pun mata lalat juga,” katanya.
Semalam media melaporkan Sanusi kesal dengan kenyataan pihak tertentu yang meletakkan kesalahan ke atasnya susulan keputusan BZI menarik diri daripada projek Langkasuka itu.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan itu kerana projek dirancang dibangunkan secara kerjasama antara syarikat swasta iaitu Widad Business Group Sdn Bhd.