PGA rampas rokok elektronik, perisa vape lebih RM200,000

PGA rampas rokok elektronik, perisa vape lebih RM200,000

Rokok elektronik itu dipercayai diseludup dari Thailand sebelum berjaya dirampas di Rantau Panjang semalam.

Lebih 900 unit rokok elektronik dan 390 botol perisa vape berjaya dirampas oleh Pasukan Gerakan Am di Pengkalan Haram Pak Su Rani, Rantau Panjang. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Aktiviti penyeludupan rokok elektronik atau vape berjaya ditumpaskan selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 900 unit dan 390 botol perisa vape di Rantau Panjang, semalam.

Rampasan keseluruhan bernilai RM221,500 itu dilakukan di Pengkalan Haram Pak Su Rani oleh Batalion 8 PGA menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata pasukan bertugas sebelum ini ternampak sebuah kereta jenis Proton Perdana di pengkalan haram berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada kereta itu kemudiannya menemui rokok elektronik dan perisa vape terbabit yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Dalam pada itu, Batalion 7 PGA turut merampas 10 ekor kambing anggaran berat lebih 400 kg di sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, semalam.

Nik Ros Azhan berkata, kambing bernilai RM10,000 itu dirampas dalam operasi pada 10.30 pagi dan pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Pasukan operasi menahan sebuah pikap dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan menemukan 10 ekor kambing dalam kenderaan itu tanpa dokumen yang sah.

“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kambing itu ke pasaran tempatan. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.