Lelaki menyamar pelanggan curi jam Rolex RM64,000

Lelaki menyamar pelanggan curi jam Rolex RM64,000

Suspek dipercayai melarikan jam tangan mewah itu setelah dibenarkan masuk ke kedai ketika ia baru dibuka pagi semalam.

Suspek dipercayai mengambil jam tangan ‘Rolex Datejust 36 Oystersteel and Yellow Gold’ bernilai RM64,000 dari dalam rak pameran sebuah kedai di Subang Jaya semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Sebuah kedai di Seksyen 16, Subang Jaya, mengalami kerugian apabila seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan dipercayai melarikan seutas jam tangan Rolex berharga RM64,000, semalam.

Berdasarkan laporan diterima polis, suspek dikatakan menunggu di hadapan kedai ketika premis itu sedang dibuka dua pekerja wanita pada 10.40 pagi.

Suspek yang mendakwa telah membuat janji temu melalui telefon kemudian dibenarkan masuk.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika berada di dalam kedai, suspek bertanyakan beberapa soalan kepada dua pekerja itu mengenai barangan dijual, sebelum tiba-tiba bergegas keluar kononnya mahu mengambil majikannya.

“Seorang daripada pekerja terbabit iaitu yang membuat laporan kejadian telah dimaklumkan daripada rakan sekerjanya bahawa jam tangan berkenaan hilang,” katanya, lapor Bernama,

Wan Azlan berkata, suspek dipercayai mengambil jam tangan ‘Rolex Datejust 36 Oystersteel and Yellow Gold’ itu dari dalam rak pameran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.