Kedah umum bantuan khas kewangan RM2,000 untuk penjawat awam

Kedah umum bantuan khas kewangan RM2,000 untuk penjawat awam

Menteri Besar Sanusi Nor berkata pembayaran dibuat secara berperingkat dengan sebahagian akan disalurkan pada Mac tahun depan dan bakinya pada Jun.

Menteri Besar Sanusi Nor berkata seramai 5,376 penjawat awam di Kedah akan menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM2,000 sebagai tanda penghargaan. (Gambar Facebook UPDA)
ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan berjumlah RM2,000 kepada 5,376 penjawat awam di negeri ini sebagai penghargaan atas dedikasi mereka.

Menteri Besar, Sanusi Nor, berkata pembayaran bantuan ini akan dibuat secara berperingkat, dengan sebahagiannya akan disalurkan pada Mac tahun depan, manakala bakinya pada Jun 2025.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM12 juta. Kerajaan negeri menghargai komitmen penjawat awam negeri dalam memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan dilaksanakan dengan cemerlang.

“Saya juga mengakui kesejahteraan negeri Kedah tercinta ini juga adalah atas jalinan kerjasama yang baik antara exco, Adun dan penjawat awam negeri khususnya Pegawai Tadbir Negeri (KCS) dan pegawai-pegawai Persekutuan,” katanya.

Beliau mengumumkan pemberian bantuan tersenut semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu, Sanusi, berkata kerajaan negeri juga telah bersetuju supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Dis ini.

“Selaras dengan pengumuman itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM30 juta tambahan secara keseluruhan kepada semua jabatan untuk tujuan pembayaran gaji semua penjawat awam negeri yang menerima opsyen SSPA bermula Disember ini.

“Dengan itu, sukacita saya umumkan kenaikan tersebut akan dibayar mulai gaji Disember ini. Kenaikan keseluruhan adalah berjumlah RM2 juta untuk tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.