Kedah tak rugi BZI tarik diri projek Langkasuka, kata Sanusi

Kedah tak rugi BZI tarik diri projek Langkasuka, kata Sanusi

Menteri besar berkata penarikan diri BZI tiada kaitan kerajaan negeri kerana projek dirancang secara kerjasama dengan syarikat swasta, Widad Business Group Sdn Bhd.

langkasuka
Sanusi Nor berkata, fungsi kerajaan negeri hanya meluluskan pelupusan tanah bagi projek Langkasuka mengikut undang-undang dengan bayaran premium tanah sudah dibayar Widad. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kedah tidak menanggung sebarang kerugian susulan keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion, kata Menteri Besar Sanusi Nor.

Katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan itu kerana projek dirancang dibangunkan secara kerjasama antara syarikat swasta, Widad Business Group Sdn Bhd.

Beliau berkata, keputusan BZI menarik diri itu juga bukan sesuatu yang baharu kerana perkara itu sudah diumumkan kepada Bursa Malaysia sebelum ini.

“Tarik diri itu bukan eksesais baharu, tetapi tak tahu mengapa ia baru berbangkit sahaja. Keputusan BZI itu sudah diumumkan di Bursa Malaysia kerana mereka syarikat disenaraikan.

“Malah, projek kerjasama antara BZI dan Widad untuk projek itu juga diumumkan oleh perdana menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, bukan di Kedah,” katanya menurut Berita Harian selepas pembentangan belanjawan negeri, di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Katanya, fungsi kerajaan negeri hanya meluluskan pelupusan tanah mengikut undang-undang.

“Apabila kita lupuskan tanah, mereka bayar premium serta cukai dan selepas itu, syarikat berkenaan yang akan memainkan peranan membangunkan tanah tersebut,” katanya.

Sanusi berkata, bayaran premium tanah itu sudah diselesaikan Widad dan fasa satu projek itu sedang berjalan, namun perlahan.

Sebelum ini, Pengarah Urusan BZI Sheikh Midhat Kidwai berkata, sejak 2022, syarikat itu tidak lagi melihat nilai dalam projek Langkasuka, melibatkan pembangunan gugusan 99 pulau.

Projek itu, yang dijangka siap dalam tempoh 15 hingga 20 tahun, dijangka menjangkau 800 hektar dengan hampir 90% kawasannya terletak di laut berhampiran Padang Matsirat.

BZI ialah anak syarikat kumpulan diasaskan Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan, kerabat diraja Abu Dhabi. Pada Mac 2021, BZI memeterai perjanjian dengan Widad bagi menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas, Widad BZI Sdn Bhd, untuk projek tersebut.

Pada September 2021, Sanusi berkata, Widad BZI telah membayar RM4.5 juta kepada Kedah sebagai ‘fi komitmen’ untuk projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.