Jawatankuasa khas ‘siasat’ beras tempatan kurang, kata Mat Sabu

Jawatankuasa khas ‘siasat’ beras tempatan kurang, kata Mat Sabu

Menteri Mohamad Sabu berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi masalah itu.

Mohamad Sabu pada Konvensyen Amanah Selangor di Midlands Convention Centre (MCC), Shah Alam.
SHAH ALAM:
Jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mencari penyelesaian berhubung isu kekurangan beras tempatan di pasaran, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi masalah itu.

“Ketua setiausaha (KSU) KPKM ambil isu ini sebagai isu besar dan kita akan tangani dengan baik. Kita akan cari jalan terbaik.

“Beras ada cuma kekurangan beras putih,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Amanah Selangor di Midlands Convention Centre (MCC).

Mohamad mengulas rungutan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang mempersoalkan ketiadaan beras putih tempatan di pasaran ketika ini.

Hassan berkata, walaupun harga beras putih tempatan ditetapkan hanya RM2.60 sekilogram, hasil pemeriksaannya mendapati ia hampir tiada di pasaran.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata selain jawatankuasa ditubuhkan itu, pihaknya juga sedang melakukan beberapa transformasi lain dalam kementeriannya bagi menangani isu kekurangan beras putih.

“Masalah makanan ini dari dulu jadi masalah utama, kita cuba buat transformasi. Beras kita kekurangan disebabkan cuaca dan kita juga promosikan penanaman beras ala Sekinchan supaya berlaku peningkatan hasil yang baik di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad selaku presiden Amanah berpuas hati dengan prestasi partinya di Selangor yang ketika ini memiliki empat Ahli Parlimen dan lima Adun.

“Amanah Selangor berkembang dengan baik, ahli yang ramai di Selangor…bagi saya agak memuaskan hati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.