Gagal bina rumah mampu milik, Johor larang 3 pemaju jual semua hartanah

Gagal bina rumah mampu milik, Johor larang 3 pemaju jual semua hartanah

Larangan berkuatkuasa sehingga kerajaan negeri beri pelepasan kepada pemaju bina rumah mampu milik dijanjikan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri mensyaratkan rumah mampu milik dibina bagi setiap perumahan pasaran bebas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor mengeluarkan kaveat atau larangan menjual hartanah dimajukan kepada tiga pemaju susulan kegagalan membangunkan rumah mampu milik.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Md Shukor, berkata tindakan tegas itu dibuat susulan ketiga-tiga pemaju berkenaan gagal mematuhi syarat pembinaan perumahan mampu milik seperti ditetapkan Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Pembangunan (PDRC).

“Tiga syarikat pemaju diberi kaveat yang menghalang hartanah dibangunkan dijual sehingga kerajaan negeri beri pelepasan selepas mereka bangunkan rumah mampu milik yang dijanjikan.

“Kita bukan kaveat satu projek pembangunan sahaja, namun keseluruhan projek pembangunan pemaju berkenaan di negeri ini dengan pelaksanaannya sudah dibuat sejak tahun lepas,” katanya menurut Bernama pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

Seterusnya, beliau berkata tindakan tegas berkenaan dibuat supaya pemaju melaksanakan Dasar Rumah Mampu Milik diperkenalkan kerajaan Johor yang mensyaratkan pemaju membina rumah mampu milik bagi setiap perumahan pasaran bebas dibangunkan.

Jafni yang juga Adun Bukit Permai, berkata PDRC sudah bertemu dengan 100 pemaju bagi memberi peringatan mengenai pembinaan rumah mampu milik setakat ini.

Katanya, separuh daripada pemaju ditemui sudah memberi komitmen membina rumah kategori itu tahun ini atau tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.