Capai persetujuan mengenai hak O&G, Zaid gesa Sarawak

Capai persetujuan mengenai hak O&G, Zaid gesa Sarawak

Bekas menteri itu berkata, jika pertikaian dibenarkan berlarutan, ia akan melata dan menjejaskan hubungan negeri dengan persekutuan.

Zaid Ibrahim-Lawyer-18 160324
Zaid Ibrahim berkata, Sarawak akan rugi jika membelakangkan kerajaan perpaduan yang dibantu ditubuhkannya dua tahun lepas.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyeru Sarawak agar mencapai persetujuan secara baik dengan kerajaan persekutuan berhubung hak minyak dan gas di negeri itu, kerana jika tidak, dikhuatiri boleh membawa kepada ketidakstabilan politik.

Dalam episod terbaru audio siarnya, Zaid juga berkata, Sarawak akan rugi jika membelakangkan kerajaan perpaduan yang dibantu ditubuhkannya dua tahun lepas.

“Apa pilihan yang Sarawak ada? Adakah ia mahu bekerjasama dengan parti majoriti Melayu yang menyebat pesalah Melayu? Adakah itu yang Sarawak mahukan?” katanya, merujuk kepada PAS.

“Pada 6 Dis ini, Terengganu akan menyebat seorang lelaki tua secara terbuka kerana berkhalwat. Adakah itu jenis parti yang Sarawak ingin jalin kerjasama? Pasti tidak. Dalam dunia yang tidak sempurna ini, sekurang-kurangnya kerajaan perpaduan masih belum mengambil jalan itu.

“Saya bukan menyokong Petronas mahupun Putrajaya, dan ini semua pandangan peribadi saya. Namun, teras asas hujah saya adalah jika pertikaian undang-undang dibenarkan berpanjangan, maka ia akan melata dan membawa kepada perbezaan politik – dan itu bukan perkara yang baik.”

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu seterusnya memuji Sarawak atas nilai-nilai liberal, mesra dan pelbagai budaya, yang menurutnya menjadi contoh yang baik bagi seluruh negara.

“(Jadi) apabila saya gesa Sarawak supaya berhati-hati dalam isu hak minyak dan gas ini, ia kerana saya mahu negeri ini dekat dengan persekutuan,” katanya.

Zaid sebelum ini menyangkal dakwaan Sarawak bahawa sempadan wilayahnya diluaskan sebelum penubuhan Malaysia, dengan berkata pendirian negeri itu berdasarkan salah faham tentang undang-undang maritim.

Adun Satok Ibrahim Baki menyifatkan hujah Zaid sebagai cacat kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan Parlimen meluluskan undang-undang untuk meletakkan hak petroleum Sarawak bawah Petronas.

Pada 15 Nov, Ibrahim menyatakan dalam sidang DUN Sarawak bahawa negeri itu memeterai pajakan perlombongan dengan Sarawak Oilfields Limited pada 1952.

Beliau mendakwa, berikutan ‘Order in Council’ pada 1954, yang memperluas sempadan Sarawak, negeri itu melanjutkan pajakan untuk merangkumi pelantar benua yang terdiri daripada dasar laut (seabed) dan lapisan tanah bawah (subsoil) laut lepas bersebelahan dengan perairan wilayahnya.

Katanya, negeri itu kemudian memformalkan kawalan ke atas semua sumber di pelantar benua dengan meluluskan Ordinan Minyak dan Perlombongan Sarawak (OMO) pada 1958, yang menurutnya masih berkuat kuasa sehingga kini.

Dayak Daily melaporkan Ibrahim berkata, walaupun Seksyen 2 Akta Kemajuan Petroleum (PDA) seolah-olah bertujuan meletakkan petroleum bawah Petronas, undang-undang tersebut tidak memansuhkan OMO dan tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri yang sah mengikut perlembagaan.

Pada Khamis, Premier Sarawak Abang Johari Openg menyokong hujah Ibrahim dengan berkata, OMO kekal sah dan berkuat kuasa, serta mesti dipatuhi oleh mana-mana entiti yang terlibat dalam penerokaan dan pengekstrakan sumber.

Ketika membahaskan belanjawan negeri untuk 2025 pada 14 Nov, Adun Stakan Hamzah Brahim berkata, Petronas tidak menghormati undang-undang Sarawak apabila menangguhkan pemuktamadan perjanjian pengedaran gas yang akan menyaksikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) diiktiraf secara rasmi sebagai agregator gas tunggal negeri.

Beliau turut memberi amaran kepada Putrajaya agar tidak membenarkan ‘keangkuhan dan kedegilan’ Petronas menjadi punca kejatuhan kerajaan Madani.

Hari ini, Zaid berkata, ancaman seperti itu tidak bagus untuk Sarawak, sambil menggesa agar isu itu diselesaikan secara ‘sopan dan atas dasar persaudaraan’.

“Saya sokong sepenuhnya perkongsian hasil yang saksama … (dan) semestinya semua pihak perlu mula (berunding) dari segi undang-undang.

“Jika perkara ini dibincangkan dengan niat baik dan boleh dilihat bahawa kedudukan undang-undang yang ketat mungkin tidak saksama atau adil, maka perjanjian kontrak baharu perlu dibuat, atau undang-undang baharu perlu digubal untuk menangani kekurangan.

“Kita tidak boleh panjangkan perkara ini dalam suasana bermusuhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.