
Ketua Pemuda PKR Kedah, Dr Taufiq Johari, berkata rakyat khususnya di Langkawi, ‘berhak mendapat jawapan atas kekecewaan ini’, susulan keputusan Bin Zayed International (BZI) LLC menarik diri daripada projek itu.
Taufiq berkata, projek yang dijanjikan sebagai pemangkin kemajuan Langkawi itu kini berpotensi terbengkalai akibat kelemahan kepimpinan kerajaan negeri.
“Menteri besar Kedah tidak boleh sekadar menuding jari kepada pihak lain apabila pelabur antarabangsa menarik diri. Kegagalan ini adalah hasil langsung daripada kurangnya perancangan strategik dan dasar yang lemah.

“Adakah ini pentadbiran yang mahu diamanahkan untuk membawa perubahan kepada Kedah?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau turut menggesa Sanusi mendedahkan pelan pemulihan yang akan dilaksanakan untuk ‘mengelakkan kegagalan serupa di masa hadapan’.
Beliau memetik kenyataan Pengarah Urusan BZI Sheikh Midhat Kidwai bahawa sejak 2022, syarikat itu tidak lagi melihat nilai dalam projek itu, yang melibatkan pembangunan gugusan 99 pulau.
Projek itu, yang dijangka siap dalam tempoh 15 hingga 20 tahun, dijangka menjangkau 800 hektar dengan hampir 90% kawasannya terletak di laut berhampiran Padang Matsirat.
BZI ialah anak syarikat kumpulan yang diasaskan oleh Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan, kerabat diraja Abu Dhabi.
Pada Mac 2021, BZI memeterai perjanjian dengan Widad Business Group Sdn Bhd bagi menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas, Widad BZI Sdn Bhd, untuk projek Langkasuka.

Pada September 2021, Sanusi berkata, Widad BZI telah membayar RM4.5 juta kepada Kedah sebagai ‘fi komitmen’ untuk projek itu.
Dalam pada itu, Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menzahirkan kebimbangan kesan limpahan daripada isu ini akan menjejaskan imej Kedah sebagai destinasi pelancongan, menjelang Tahun Melawat Kedah tahun depan.
“Jika situasi ini berlanjutan, ia mungkin akan menjejaskan imej Kedah sebagai destinasi pelancongan, dengan pelancong memilih untuk melawat lokasi lain seperti Thailand yang menawarkan infrastruktur lebih baik dan peluang pelancongan yang lebih menarik,” katanya.