
Menteri Aaron Ago Dagang berkata, kementeriannya terus menekankan konsep ‘Faham, Hormat dan Terima’ dalam semua program bagi memastikan rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan adat resam hidup bersama dengan meraikan perbezaan.
Katanya, KPN mengadakan Jejak Harmoni dengan mengumpul semua penganut agama untuk bersama melawat rumah ibadat dan berinteraksi.
“Itu satu daripada inisiatif kita adakan untuk semua penganut agama untuk sama-sama faham perbezaan agama lain,” katanya dalam temubual bersama FMT.

Selain Jejak Harmoni, KPN menganjurkan sambutan Minggu Keharmonian Sedunia, Dialog Harmoni, Dokumentari Jejak Harmoni, Sambutan Hari Toleransi dan Podcast Harmoni.
Bagi tahun 2025, KPN akan mengusahakan iklan pelbagai perayaan, podcast uniti, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan isu Perpaduan, dokumentari kisah perpaduan selain membuat kajian semula Pengukuhan Indeks Ketegangan Masyarakat (IKM) dan meneruskan kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Semenanjung Malaysia.
“Kita harus sentiasa berusaha memupuk semangat kesepaduan dengan menerima dan menghargai perbezaan yang ada. Inilah yang akan membawa Malaysia menuju kemajuan dan kemakmuran yang berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron berkata Piagam Harmoni hasil kerjasama KPN dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Piagam Harmoni Malaysia yang mengandungi 12 nilai penting ialah kesinambungan semangat Rukun Negara selaras Perlembagaan Persekutuan bagi melahirkan warganegara bersatu padu dan memiliki keperibadian utuh.
Nilai itu adalah adab dan akhlak, keinsanan, kerendahan hati, penerimaan, kasih sayang, hormat-menghormati, jujur, empati, muhibah, tasamuh, toleransi serta kesederhanaan.