Kes Faisal disimbah asid: Kertas siasatan sudah dirujuk ke AGC

Kes Faisal disimbah asid: Kertas siasatan sudah dirujuk ke AGC

Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk kajian dan arahan selanjutnya, menurut JSJ Bukit Aman.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, siasatan kes Faisal Halim disimbah asid pada Mei lepas tidak pernah dihentikan.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan kes pemain bola sepak Selangor FC Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lepas sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Berita Harian melaporkan perkara ini disahkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan ringkas hari ini, namun tarikh kertas siasatan itu dirujuk tidak dinyatakan.

“Kes ini masih dalam siasatan polis dan kertas siasatan telah dirujuk ke kamar Peguam Negara untuk kajian dan arahan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan kes tersebut tidak pernah dihentikan dan polis terus berusaha mencari maklumat baharu untuk membantu siasatan.

Katanya, sejak siasatan dibuka Mei lepas, seramai 23 individu diambil keterangan manakala tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan.

“Daripada tangkapan dilakukan itu, pihak JSJ Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.

“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu,” katanya.

Semalam, media melaporkan kerajaan Selangor masih menunggu laporan siasatan kes itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi dipetik sebagai berkata, pihaknya juga tidak menerima maklum balas daripada polis berhubung kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.