
Katanya, beliau berpuas hati dengan sistem Lembaga Disiplin yang bertindak secara profesional selepas dipanggil pada Khamis.
“Saya dipanggil dalam sesi pendengaran atau perbicaraan dengan lembaga disiplin parti Khamis lalu, namun belum ada keputusan. Hasil pendengaran itu mereka (Lembaga Disiplin) akan membuat cadangan tentang keputusan itu.
“Selepas ini mereka akan rujuk Biro Politik PKR dan selepas tu Majlis Pimpinan PKR yang dipengerusikan presiden PKR. Keputusan dijangka diputuskan esok,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, beliau akan menghormati sebarang keputusan dan tidak mahu memberi kenyataan yang boleh mempengaruhi ketetapan itu nanti.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau masalah berkaitan aduan penjaja di hadapan Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang.
Hassan dirujuk ke Lembaga Disiplin berhubung kritikan terbuka terhadap kerajaan susulan aduan daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Yee Kew, berkata pendengaran melibatkan beliau adalah tatacara biasa, iaitu apabila pihaknya menerima aduan, individu terbabit akan dipanggil untuk penjelasan, dan dapatan lembaga akan diserahkan kepada MPP untuk keputusan.
Sumber memberitahu FMT, berkata Hassan dipanggil lembaga tersebut berhubung kenyataan terbuka mengkritik kerajaan, berkait penganugerahan rangkaian 5G kedua negara kepada U Mobile.
Sumber itu memberitahu, bekas ketua PKR Johor itu juga dituduh parti kerana menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hassan sebelum ini memberitahu FMT, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi restu dan memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk menulis apa sahaja kecuali jangan mengkritik raja.
Beliau dilihat sebagai pengkritik pentadbiran Anwar yang lantang.