Ditipu ‘Inspektor Harun’, pengarah syarikat rugi lebih RM1 juta

Ditipu ‘Inspektor Harun’, pengarah syarikat rugi lebih RM1 juta

Wanita tempatan itu mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas menerima panggilan daripada syarikat penghantaran.

Menurut Ketua Polis Johor M Kumar, mangsa telah membuat pindahan wang berjumlah RM1,140,320 ke akaun bank yang diarahkan oleh ‘Inspektor Harun’ kononnya untuk tujuan siasatan.
PETALING JAYA:
Seorang pengarah syarikat berputih mata apabila kerugian lebih RM1 juta selepas mendakwa individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Harun’.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun semalam yang mendakwa dia ditipu oleh individu terbabit menerusi panggilan telefon.

Katanya, mangsa mendakwa sebelum itu dia dihubungi oleh sebuah syarikat penghantaran kira-kira 3 petang, 31 Okt lalu.

“Individu yang memperkenalkan diri daripada syarikat penghantaran itu memaklumkan kepada mangsa bahawa terdapat bungkusan atas namanya yang dikatakan mengandungi buku cek dan token bank.

“Mangsa menafikan ada membuat permohonan, lalu panggilan terus disambungkan kepada pihak polis untuk mangsa membuat laporan penafian.

“Mangsa telah bercakap dengan ‘Inspektor Harun’ dan diberitahu terdapat kad visa milik mangsa telah dijumpai dan kad visa itu didapati terbabit dalam kes penipuan serta penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Menurut beliau, mangsa mendakwa diarahkan untuk memindahkan semua wang yang ada ke akaun lain bagi tujuan siasatan Bank Negara.

“Kerana takut dan bimbang dikenakan tindakan undang-undang, mangsa telah membuat pindahan wang berjumlah RM1,140,320 ke akaun bank yang diarahkan oleh ‘pegawai polis’ itu.

“Mangsa menyedari telah ditipu apabila diarahkan lagi membuat pindahan wang walaupun sejumlah wang sudah dipindahkan sebelum itu, lalu membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau menasihatkan orang ramai lebih berwaspada apabila menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis mahu pun mana-mana agensi penguat kuasa.

“Pihak berkuasa sama sekali tidak akan mengarahkan wang dipindahkan ke mana-mana akaun bank atas alasan untuk tujuan siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.