Dakwaan Sarawak sempadan diperluas salah dari segi undang-undang, kata Zaid

Dakwaan Sarawak sempadan diperluas salah dari segi undang-undang, kata Zaid

Bekas menteri undang-undang berkata Sarawak salah faham perbezaan antara ‘kebolehan eksploitasi’ dan 'konsep geologi had wilayah’.

zaid ibrahim
Zaid Ibrahim berkata Seksyen 13(a) PMA secara jelas memansuhkan OMO berhubung hak negeri untuk meneroka, mencari dan melombong petroleum di luar pesisir.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyangkal dakwaan Sarawak bahawa sempadan wilayahnya diluaskan sebelum penubuhan Malaysia, dengan berkata pendirian negeri itu berdasarkan salah faham tentang undang-undang maritim.

“Kenapa baru sekarang Sarawak cabar kesahan undang-undang yang dilaksanakan sejurus selepas penubuhan Malaysia? Semestinya bapa pengasas kita (dahulu) benar-benar tahu apa yang mereka lakukan,” katanya kepada FMT.

Bercakap atas kapasiti peribadinya, Zaid berkata, Sarawak seolah-olah salah faham perbezaan antara ‘kebolehan eksploitasi’ dan ‘konsep geologi had wilayah sesebuah negeri’.

“Dua konsep ini tidak boleh digabungkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata ‘kebolehan eksploitasi’ merujuk kepada hak negeri menggunakan dan mengekstrak sumber dari kawasan maritim tertentu, seperti pelantar benua.

“‘Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954’ dan ‘Geneva Convention on the Law of the Sea 1958’ menyentuh tentang apa yang boleh dilombong di mana, iaitu ‘kebolehan eksploitasi’.

“Ia bukan tentang apa yang pernah jadi sebahagian daripada Sarawak, atau tidak, yang kita rujuk sebagai ‘had wilayah’,” kata Zaid.

Beliau berkata, isu had wilayah negeri hanya ditangani dalam Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1982 (Unclos).

Tambahnya, pajakan perlombongan yang diberikan kepada Sarawak Oilfield Limited pada 1952 juga semata-mata memberikan syarikat itu ‘hak eksploitasi’.

“Pada masa itu, skop eksploitasi luar pesisir jauh lebih sempit, dan terhad dengan teknologi hingga kedalaman 200m di perairan berhampiran pesisiran,” katanya.

“Sarawak melanjutkan pajakan perlombongan pada 1956 selepas ‘Order in Council’ pada 1954 memberi Sarawak hak mengeksploitasi pelantar benua. Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) kemudiannya memformalkan hak Sarawak untuk mengeksploitasi sumber-sumber ini.”

Zaid berkata, sejurus Malaysia ditubuhkan, Akta Perlombongan Petroleum (PMA) 1966 diluluskan untuk menangani eksploitasi sumber luar pesisir pada skala nasional.

“Seksyen 13(a) (PMA) secara jelas memansuhkan OMO berhubung hak negeri untuk meneroka, mencari dan melombong petroleum di luar pesisir. Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) kemudiannya memiliknegarakan eksploitasi sumber darat,” katanya.

“Tiada satu pun antara ini ada kaitan dengan had wilayah,” katanya.

Pada 15 Nov, Adun Satok Ibrahim Baki memberitahu badan perundangan Sarawak bahawa negeri itu memeterai perjanjian pajakan perlombongan dengan Sarawak Oilfields Limited pada 1952.

Beliau mendakwa, berikutan ‘Order in Council’ pada 1954, yang memperluas sempadan Sarawak, negeri itu melanjutkan pajakan untuk merangkumi pelantar benua yang terdiri daripada dasar laut (seabed) dan lapisan tanah bawah (subsoil) laut lepas bersebelahan dengan perairan wilayahnya.

Katanya, negeri itu kemudian memformalkan kawalan ke atas semua sumber di pelantar benua dengan meluluskan OMO pada 1958, yang menurutnya masih berkuat kuasa sehingga kini.

“Walaupun Seksyen 2 PDA seolah-olah bertujuan meletakkan petroleum bawah Petronas, PDA tidak memansuhkan OMO dan tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri yang sah mengikut perlembagaan,” kata Ibrahim, lapor Dayak Daily.

Memetik Seksyen 8 PDA, beliau berkata, satu-satunya undang-undang yang mengecualikan Petronas ialah PMA.

“Sekiranya Parlimen berhasrat Petronas dikecualikan daripada mana-mana undang-undang lain, sama ada negeri mahupun persekutuan, sama ada berkaitan perniagaan huluan atau kegiatannya, Parlimen akan menyatakan pengecualian itu dalam PDA,” katanya.

Pada Khamis, Premier Sarawak Abang Johari Openg tegas menyokong hujah Ibrahim dengan berkata, OMO kekal sah dan berkuat kuasa, serta mesti dipatuhi oleh mana-mana entiti yang terlibat dalam penerokaan dan pengekstrakan sumber.

Zaid bagaimanapun menyifatkan dakwaan dan penegasan ini sebagai ‘salah arah dan tidak ikhlas’.

“Kesan luar pesisir OMO telah dimansuhkan oleh PMA dan kesan dalam pesisir diperuntukkan untuk pertimbangan bawah PDA. Tiada apa-apa lagi untuk dimansuhkan.

“Kedudukan undang-undang isu ini sudah terang lagi bersuluh, takkanlah ia baru disedari sekarang,” katanya.

Zaid berkata, beliau berharap penjelasannya akan membantu Sarawak dan Petronas meleraikan pertikaian mereka secara baik demi kepentingan negara.

Bawah PDA, Petronas mempunyai pemilikan atas semua minyak dan gas di seluruh negara, termasuk di Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak baru-baru ini berusaha mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas sumber-sumbernya melalui syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.