‘Buat macam-macam tapi bayaran kurang setimpal’, dakwa anggota bomba

‘Buat macam-macam tapi bayaran kurang setimpal’, dakwa anggota bomba

Anggota bomba hanya mahu dikenali Ahmad merayu kebajikan mereka dijaga untuk masa depan lebih baik.

bomba
Anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa terjatuh lubang benam di Masjid India, Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Menyelam dalam air kumbahan dengan arus deras ditambah penglihatan terhad antara cabaran dilalui anggota bomba terbabit operasi mencari dan menyelamat warga India terjatuh lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Keadaan itu mengingatkan seorang anggota bomba hanya mahu dikenali Ahmad, yang pernah berdepan insiden bot karam dalam misi banjir sehingga terpaksa bermalam di pokok sebelum diselamatkan keesokan harinya.

“Cabaran kerja bomba ini macam-macam, kadangkala berhari-hari tidur di hutan untuk memadam kebakaran dan solat dalam asap…aduan katak di rumah pun kena selesaikan,” katanya kepada FMT.

Namun, di sebalik semangat untuk bertugas, Ahmad sering kali ‘terasa hati’ apabila ada isu membabitkan kebajikan mereka seakan terlepas pandang terutama bayaran ganti cuti am sekitar 18 hingga 19 hari setahun, yang didakwa tidak setimpal.

“Kami anggota bomba (bahagian operasi) jika bekerja pada cuti am, kami tidak boleh ganti cuti. Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bomba sudah diberi elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB) sebanyak RM110 sebulan.

“Jika dibuat kira-kira, hanya berapa sen kami dibayar setiap hari. Jika elaun itu kita dapat sekitar RM400 hingga 500 sebulan, JPA nak ambil semua cuti itu ambillah,” katanya yang sudah 20 tahun bertugas.

Dakwanya, mereka difahamkan pimpinan tertinggi bomba sudah mengemukakan cadangan tambah baik kepada JPA tiga tahun lalu namun tiada perkembangan positif sehingga kini.

“Kita bukan mahu bertanding (tangga gaji dan elaun), tapi sekurang-kurangnya kami dibayar setaraf dengan pasukan keselamatan lain.

“Kos sara hidup semakin tinggi, belanja anak sekolah dan harga barang naik, memang tak cukup,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu yang berharap JPA mengkajinya.

Ahmad memberitahu dia dan rakan maklum pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengenai pelaksanaan kadar baharu gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Disember ini, namun menegaskan apa diperjuangkannya adalah isu bayaran elaun BIB yang tidak berpadanan.

Selain BIB, anggota bomba turut menerima elaun tambahan seperti perumahan, sara hidup dan khidmat awam.

“Bunyi macam banyak, jika dijumlahkan sikit sahaja, tapi Alhamdulillah,” katanya.

FMT sedang mendapatkan maklum balas Ketua Pengarah Bomba Nor Hisham Mohammad mengenai isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.