
Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata pendidik tidak menolak keperluan pengenalan teknologi kepada murid, namun tempoh tiga tahun pertama di sekolah rendah seharusnya ditumpukan kepada usaha memperkasa 3M.
“Masa yang perlu fokus ialah memperkasa 3M. Kemahiran penggunaan teknologi dengan ilmu teknologi berbeza jadi nak terapkan teknologi itu perlu penerangan yang jelas.
“Kita tak menolak murid perlu didedahkan dengan teknologi tetapi keutamaan sekarang memastikan penguasaan 3M di Tahap 1 (Tahun 1 hingga Tahun 3),” katanya kepada FMT.

Tambahan, katanya sehingga kini masih belum ada sekolah di negara maju melaksanakan kurikulum TVET di sekolah rendah, selain tiada kajian menyeluruh mengenai pelaksanaannya.
“Perlu ada kajian dan contoh negara maju yang telah melaksanakan kurikulum TVET untuk sekolah rendah,” katanya.
Pada 15 Nov, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata murid sekolah rendah akan diperkenalkan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
Mengulas lanjut, Azizee berkata KPM juga perlu memastikan profesion perguruan bersedia dengan cabaran baharu itu.
“Bahagian profesionalisme keguruan di KPM perlu sediakan kurikulum yang mampu melatih kemahiran guru selain bakal pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Majlis Profesor Negara (MPN) Anuar Ahmad pula berpendapat elemen TVET di sekolah rendah sebenarnya bukan idea baharu, sebaliknya hanya dijenamakan semula melalui subjek kemahiran hidup.

Beliau juga melihat tiada keperluan untuk KPM menjenamakan semula kurikulum sekolah dengan memasukkan perkataan ‘TVET’, yang menurutnya hanya mencetuskan kebimbangan ibu bapa terhadap keupayaan anak mereka menguasai silibus baharu bermula 2027.
“Tidak ada keperluan pun kita memaklumkan elemen TVET akan bermula di Tahun 1 sebab itu ia hanya menjadikan masyarakat keliru dan bimbang kerana sekarang ibu bapa lebih risau anak mereka dengan kemahiran 3M.
“Tahun 1 dan Tahun 2 sepatutnya kita fokus pada 3M supaya bila mereka masuk Tahun 3, tak ada lagi masalah keciciran 3M.
“Fokus dulu kemahiran 3M dengan baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bila di Tahap 2 barulah kita bercakap soal TVET sesuai dengan tahap umur mereka,” katanya.